Johor Muflis 2012: Kenyataan Balas Terhadap Kenyataan YAB Menteri Besar Johor
April 13, 2010 on 4:27 pm | In Uncategorized | 9 Comments
Satu sidang akhbar oleh pemimpin Pakatan Rakyat Johor di Kelab Persatuan Wartawan Cina, Taman Maju Jaya Johor Bahru pagi tadi bagi membalas kenyataan di akhbar utama oleh YAB Menteri Besar Johor pada 9April lalu berkaitan kedudukan kewangan JCorp dan Kerajaan Negeri serta menuduh parti pembangkang berniat amat jahat meracuni pemikiran serta menakut-nakutkan rakyat Johor.
Sidang akhbar yang bermula jam 11 pagi tadi di hadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed, Pesuruhjaya PAS Johor, Subra Padi dari PKR, Dr. Boo Cheng How, DAP, danYB Ong Kow Meng DAP.
Dalam sidang akhbar tersebut, Pakatan Rakyat Johor berpendapat YAB Menteri Besar tidak memahami isu sebenar yang dibangkitkan Pakatan Rakyat Johor dalam Kempen Selamatkan Johor.
Antara isu yang dibangkitkan adalah Kecairan Tunai Semasa Kerajaan Johor yang rendah iaitu Tunai RM36.37 juta dan Pelaburan RM165.16 juta berbanding Tanggungan Semasa berjumlahRM943.54 juta menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008.
Bajet Negeri Johor 2010 yang berjumlah RM785 juta iaitu RM65 juta sebulan memberi andaian tiada pendapatan baru kepada kerajaan negeri yang boleh membawa muflis dalam masa 3 bulan sahaja.
Pucuk pimpinan Pakatan Rakyat Johor juga mempersoalkan keberkesanan pinjaman kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat yang meningkat pada tahun 2008 iaitu sebanyak RM1.01 billion berbanding 2007 sebanyak RM842.13 juta yang disebabkan oleh pinjaman bagi projek air yang dikira selesai oleh Menteri Besar kerana projek tersebut telah diambil alih oleh Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Perkhidmatan air di Negeri Johor telah diswastakan kepada SAJH, milik penuh Ranhill Utilities Berhad tetapi kerajaan negeri masih dibebani pinjaman yang besar bagi projek air malahan SAJH masih berhutang dengan kerjaan negeri sebanyak RM511.82 juta.
Apa yang dibimbangi, adalah Ranhill Utilities Bhd. mengaut keuntungan besar bukannya SAJH kerana hampir semua projek infrastruktur SAJH dimonopoli oleh Ranhill dan tarif air dinaikkan, SAJH digunakan sebagai mekanisme mengutip wang daripada rakyat untuk memperkayakan Ranhill.
Pakatan Rakyat Johor juga menyangkal kenyataan Menteri Besar Johor yang menyatakan pembangkang tersilap kerana menganggap jumlah pinjaman JCorp melalui penerbitan bon sebanyak RM4.032 billion pada tahun 2002 sebagai hutang Kerajaan Negeri.
Bon yang diterbitkan oleh JCorp adalah dijamin oleh Kerajaan Negeri Johor bagi memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur melanggani bon tersebut dan sekiranya JCorp gagal membayar nilai pokok termasuk keuntungan bon tersebut bila sampai tempoh matang maka kerajaan negeri sebagai penjamin perlu menyediakan kewangan tersebut.
Berdasarkan kepada keuntungan sebelum cukai JCorp pada masa sekarang lebih kurang RM600 juta setahun, dijangkakan JCorp hanya mampu menyediakan RM1.5 billion sehingga tahun 2012 bagi menebus bayar bon yang matang pada 31 Julai 2012 dengan nilai RM3.58 billion.
Pakatan Rakyat Johor bimbang kerjaan negeri dan JCorp terpaksa mengambil jalan pintas dengan menjual aset-aset strategik mereka yang berkmungkinan bentuk “REZAB” yang dimaksudkan oleh YAB Menteri Besar yang akan digunakan untuk menyelesaikan hutang JCorp dan membiayai perbelanjaan mengurus Negeri Johor.
Sebagai contoh, dalam sidang DUN baru-baru ini, JCorp telah mengesahkan menjual Menara Pejabat Kotaraya dari tingkat 7 hingga tingkat 14 beserta 100 tempat letak kereta di tingkat 4 dan 6 kepada Iskanadar Investment Bhd. (IIB) pada 12 Disember 2009 dengan harga RM27 juta.
Pakatan Rakyat Johor juga meragui kenyataan Menteri Besar Johor yang menyatakan bahawa JCorp merupakan sebuah syarikat yang besar dan kukuh dan memililki aset berjumlah hampir RM5 billion dan boleh dicairkan pada bila-bila masa untuk membayar hutangnya.
Pakatan Rakyat Johor berpendapat sekiranya JCorp sebuah syarikat yang besar dan kukuh, mengapa memiliki hutang terkumpul sebanyak RM4.032 billion sehingga perlu menerbitkan bon dan masih berhutang sebanyak RM87.59 juta dengan kerajaan Negeri disamping memohon kerajaan Negeri berhutang kepada kerajaan Pusat bagi kepentingan mereka sebanyak RM52.5 juta sehingga tahun 2008.
Dalam sidang akhbar tersebut juga, Pakatan Rakyat Johor meminta YAB Menteri Besar Johor bersikap jujur dalam memberitahu rakyat Johor tentang keadaan sebenar kewangan Kerajaan Negeri dan JCorp serta membuat penjelasan secara terperinci tentang aset-aset atau “rezab” yang bakal dilupuskan bagi menebus bon sebanyak RM3.58 billion yang akan matang pada 2012.
Pakatan Rakyat Johor juga meminta YAB Menteri Besar agar diadakan dialog terbuka dengan mereka tentang isu yang disebutkan.
Powered by WordPress with Pool theme design by Borja Fernandez. Theme pack from WPMUDEV by Incsub. Distributed by Dedicated Servers
Entries and comments feeds.
Valid XHTML and CSS. ^Top^