Kelemahan pengurusan punca skuad bola sepak Perak merosot

Punca kegagalan pasukan bolasepak Skuad Seladang yang kini menduduki tempat lima ke bawah adalah berpunca daripada pengurusan pasukan yang langsung tidak berpengalaman dan memahami akan seni bolasepak itu sendiri.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Salman Saleh berkata ini dizahirkan pula dengan kegagalan skuad Seladang beraksi cemerlang yang seolah-olah tidak bermaya dan kemerosotan prestasi setiap pemain.

Menurutnya, pihaknya merasakan sesuatu pengalaman itu penting sebagai pemandu atau pengurus satu pasukan bolasepak walaupun dibekalkan dengan kewangan yang besar, pemain-pemain ternama dan juga jurulatih yang hebat.

“Tetapi sebenarnya semua itu amat memerlukan pengalaman yang cukup luas dan mahir bagi mengatasi permasalahan yang wujud dalam pasukan tersebut. Bagi kami, Khairul Azwan Harun wajar menilai kemampuannya bagi terus mengemudi Skuad Seladang ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Malah, Salman berpendapat mungkin Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Haji Paharudin boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada orang lama seperti Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang berpengalaman luas dalam mengurus pasukan bolasepak Perak suatu masa dahulu.

Menurutnya, beliau berharap semua pemain agar terus fokus dan memberikan tumpuan kepada perlawanan-perlawanan seterusnya agar dapat memperbaiki preatrasi Skuad Seladang.

“Kami juga berharap agar peminat serta penyokong akan terus memberikan sokongan dan beramai-ramai memenuhkan kembali Stadium Perak bagi setiap perlawanan yang akan berlangsung kelak,” katanya.