Cuepacs cadang berbincang dengan Najib soal gaji

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang untuk menemui Perdana Menteri, Najib Abdul Razak untuk membincangkan soal pelarasan gaji bagi kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya Omar Osman berkata pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat kongres pada 26 dan 27 Mei di Lumut, Perak.

“Selepas mesyuarat kongres, kita akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Katanya selain soal pelarasan gaji, kongres juga bercadang berbincang dengan kerajaan mengenai soal bantuan sara hidup (COLA) dan elaun tetap perumahan.

Cuepacs sebelum ini mencadangkan agar COLA semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan dan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

Cuepacs juga telah membuat permohonan untuk penyelarasan gaji pada dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, Omar berkata perkara itu terserah kepada kerajaan tetapi berharap ia dapat dipertimbangkan.

Katanya dalam pertemuan kongres dengan penjawat awam di seluruh negara, banyak keluhan telah dikeluarkan berhubung kadar kos hidup pada masa ini yang semakin meingkat termasuk di kawasan luar bandar.

“Bila harga barang naik, mereka mengeluh dengan kenaikan kadar kos hidup sekarang ini. Itu sebab kita minta timbang semula COLA itu supaya dapat diselaraskan,” katanya.

Omar berkata penyelarasan gaji akan dapat menampung perbelanjaan penjawat awam terutama kumpulan bawahan yang terpaksa bekerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan kira-kira RM500 sebulan.

Katanya pertemuan itu juga bagi membincangkan langkah-langkah untuk memantapkan produktiviti penjawat awam.

– Bernama