Dapatkan Sijil Perakuan Bomba atau berdepan tindakan

Dapatkan Sijil Perakuan Bomba atau berdepan tindakan

Jabatan Bomba Dan Penyelamat memberi tempoh sehingga tiga tahun lagi untuk semua premis di negara ini memperoleh Sijil Perakuan Bomba atau berdepan tindakan undang-undang.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat memberi tempoh sehingga tiga tahun lagi untuk semua premis di negara ini memperoleh Sijil
Perakuan Bomba atau berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarahnya, Wan Mohd Nor Ibrahim berkata jabatan itu telah memberi tempoh kepada pemilik premis untuk memohon sijil itu sejak tahun 2002, namun sehingga kini, dianggarkan 30 peratus bangunan di negara ini masih belum mempunyai sijil perakuan berkenaan.

Beliau berkata antara punca situasi itu berlaku adalah kerana terdapat premis yang gagal memenuhi syarat kelayakan pemberian sijil berkenaan.

“Kita bagi tempoh sehingga tiga tahun lagi bagi membolehkan premis-premis terbabit khususnya bangunan lama membuat persiapan lakaran pelan dan pembentukan semula sistem keselamatan masing-masing.

“Kita faham untuk melakukan itu melibatkan kewangan bagi melantik jurutera dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar kebakaran sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, hari ini.

Seminar sehari bertujuan menyampaikan maklumat dan penjelasan mengenai peraturan dan perundangan keperluan sistem kebombaan itu dihadiri 410 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta Institusi Pengajian Tinggi.

Pemilik premis yang gagal memperoleh sijil perakuan berkenaan selepas tempoh itu akan dikenakan tindakan undang-undang dan dihadapkan ke mahkamah, kata Wan Mohd Nor.

Beliau berkata sijil itu penting bagi menunjukkan jaminan mengenai sistem keselamatan kebakaran kepada pelanggan atau penghuni di premis terbabit.

– Bernama