Rumah Puteri Arafiah bantu remaja perempuan bermasalah

Rumah Puteri Arafiah bantu remaja perempuan bermasalah

Kerajaan Selangor menubuhkan Rumah Perhentian Remaja Puteri telah mula beroperasi awal bulan ini dengan memberi pelindungan kepada remaja berhadapan dengan masalah penderaan emosi dan fizikal.

Kerajaan Selangor menubuhkan Rumah Perhentian Remaja Puteri diberi nama `Rumah Puteri Arafiah` telah mula beroperasi awal bulan ini dengan memberi pelindungan kepada remaja berhadapan dengan  masalah penderaan emosi dan fizikal.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Rumah Puteri Arafiah, Datin Seri Salbiah Tunut berkata penubuhan rumah perhentian ini adalah bertepatan masanya berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) menunjukkan angka pembuangan bayi semakin membimbangkan dan menjadi satu fenomena yang menggusarkan semua pihak.

Selain itu, menurutnya ia memberi pelindungan kepada remaja yang berhadapan dengan masalah penderaan emosi dan fizikal akibat perkosaan dan sumbang mahram, pengabaian keluarga, terjebak dengan gejala zina serta penjagaan bayi yang telah dan bakal dilahirkan akibat ketelanjuran mereka.

“Melalui rumah perhentian ini remaja terbabit akan diberi perlindungan, kesedaran, bimbingan secukupnya bagi memulih serta membina semula jati diri remaja supaya dapat meneruskan kehidupan dengan sahsiah diri yang lebih baik, positif dan sihat.

“Ia terbuka kepada remaja perempuan dari berbilang kaum berusia antara 12 hingga 21 tahun, warganegara Malaysia dengan syarat remaja tersebut bersedia mengubah diri dengan menjalani bimbingan sekurang-kurangnya selama dua tahun,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

See also  Claire Organics hosts inspiring Kindness Summit 2.0

Difahamkan, keputusan menubuhkan rumah perhentian itu telah diumumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Ogos lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Salbiah yang juga Di Pertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) berkata bagi merealisasikan penubuhan rumah perhentian tersebut, pertubuhannya telah mengenalpasti premis yang bersesuaian iaitu sebuah rumah Kompleks PKNS di Seksyen 7 Shah Alam bagi menempatkan remaja perempuan yang bermasalah.

Malah, menurutnya bagi memastikan usaha murni ke arah pembukaan Rumah Puteri Arafiah ini dengan jayanya pertubuhannya akan mengambil tindakan melalui saluran yang sewajarnya seperti berdaftar dengan JKM dengan segera.

“Selain itu, keprihatinan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan memberi bantuan dan kerjasama dalam operasi Rumah Puteri Arafiah untuk memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat amat membanggakan.

“Diharapkan banyak lagi sektor awam dan swasta akan tampil untuk memberi bantuan dalam usaha murni ini,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kenyataan daripada JKM yang mengesahkan ketidakupayaan jabatan dari segi kemudahan bagi menampung kes remaja bermasalah dan pembuangan bayi yang semakin meningkat, Salbiah menjelaskan ia menunjukkan betapa rumah perhentian dibina ini amat diperlukan bagi meringankan bebanan pihak berkenaan.

See also  Novartis Malaysia champions gender parity in STEM industries

Menurutnya, tanggungjawab ini tidak seharusnya terletak di atas bahu pihak berkuasa semata-mata tetapi usaha bagi membendung masalah sosial ini seharusnya mendapat sokongan dan menjadi tanggungjawab semua pihak tanpa mengira peringkat pemimpin di dalam masyarakat.

“Sehubungan itu, pertubuhan itu akan mengadakan satu acara kutipan dana pada 4 Jun bertempat di SACC Convec Shah Alam bertujuan menampung kos pengurusan yang mencecah RM200,000 dalam mengurus pelatih berjumlah antara 30 hingga 50 orang bagi tahun ini.

“Majlis Hi-Tea ini akan diserikan dengan satu acara kemuncak `Top Chef` iaitu satu pertandingan memasak antara chef terkenal di serata hotel di negeri ini serta acara lelongan masakan golongan kenamaan,” katanya.

Bagi mereka berminat menyertai boleh menghubungi Norhayati dan Syafikah di talian 03-5519 1248 untuk tempahan jualan meja dan tiket.