Sambut Pesta Kaamatan untuk pupuk perpaduan dan muhibbah

Pesta Kaamatan yang diberi pengiktirafan disambut di peringkat kebangsaan, membuktikan bahawa kerajaan ingin menjadikan setiap perayaan yang disambut oleh seluruh rakyat berbilang kaum di Negara ini sebagai alat perpaduan nasional dan  memperkukuh semangat kenegaran di kalangan rakyat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, kerajaan sentiasa memberikan perhatian serius dalam usaha memupuk perpaduan dan muhibah di kalangan rakyat.

Beliau berkata rakyat seharusnya memastikan tahap perpaduan yang ada sekarang dapat dipertahankan dan pada masa yang sama berusaha untuk mempertingkatkannya supaya berada pada keadaan selesa.

Katanya segala usaha memperkasakan ekonomi Negara dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan dan menyeru untuk menyemarakkan keharmonian serta perpaduan yang sedia wujud ini sebagai jaminan untuk kesejahteraan hidup generasi akan datang.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Tass, Balung, Tawau disini kelmarin.

Turut hadir sama Pengerusi Penganjur yang juga  Wakil Ketua Anak Negeri Kg. Tass Andrassy, Wkan George Emol, Ketua Daerah OKK Mohd Ayub Kee Abu Bakar, PKR N. 55 Balung Hamild Haji Awang, Pegawai Jasa Daerah Tawau Nordin Nusu seeta pemimpin masyarakat dan penduduk kampung

Menurut Abas keterbukaan masyarakat Malaysia menyaksikan Pesta Kaamatan kini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia

“Pesta Kaamatan sinonim dengan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut di Negeri Sabah, kini masyarakat Malaysia lainnya juga turut berkongsi merayakannya. Inilah ciri unik masyarakat Malaysia yang kita banggakan.

“Usaha ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa peka dengan aspirasi setiap suku kaum di Negara ini dengan menyediakan peluang kepada setiap budaya etnik itu terus berkembang kearah membentuk identiti nasional,” ujar beliau.

Sehubungan itu Abas turut menyeru kepada masyarakat Kadazan Dusun dan Murut di negeri ini supaya mengamalkan sikap rajin berusaha demi menjadikan bidang pertanian sebagai usaha yang berpotensi untuk terus berkembang maju.

Tambah beliau pencapaian hasil yang baik ini akan membolehkan sektor pertanian di Tawau berkembang dan terus menjadi sektor penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya perayaan ini pada hakikatnya adalah manifestasi kamajuan ekonomi, sosial dan budaya negeri Sabah yang perlu dihayati bukan sahaja oleh masyarakat Kadazan Dusun dan Murut.