Polis tahan 77 orang dalam operasi mesin judi

Polis tahan 77 orang dalam operasi mesin judi

Polis menahan 77 individu yang terlibat dengan kegiatan judi dan merampas 1,071 unit komputer dalam 281 operasi mesin judi di sekitar bandar raya Johor sejak Januari lepas.

Polis menahan 77 individu yang terlibat dengan kegiatan judi dan merampas 1,071 unit komputer dalam 281 operasi mesin judi di sekitar bandar raya sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata polis membuka 115 kertas siasatan berhubung kes-kes tersebut, dengan 17 kes sudah dijatuhi hukuman dan selebihnya masih di peringkat perbicaraan mahkamah.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas polis menahan 56 individu yang terlibat dalam kegiatan yang sama dan merampas 2,790 unit komputer dalam 752 serbuan yang dijalankan.

Bercakap kepada pemberita semalam, beliau berkata dalam tempoh itu juga polis membuka 103 kertas siasatan dengan 39 kes daripadanya sudah dijatuhi hukuman manakala bakinya masih di peringkat perbicaraan mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata pihaknya yakin dapat menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan samun di kawasan perumahan sekitar bandar raya menerusi penubuhan pasukan ronda dan riadah, sejak Februari lepas.

Beliau berkata pasukan ronda menggunakan basikal jenis mountain bike itu disertai lapan hingga 15 anggota polis yang bertugas dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 7 pagi.

Menurutnya antara kawasan perumahan yang terlibat adalah Taman Pelangi Indah, Taman Setia Indah, Larkin, Taman Pelangi dan pusat bandar raya Johor Bahru.

– Bernama