Ahli KWSP dihukum penjara kerana menipu

Seramai 12 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dihadapkan ke mahkamah di antara Januari dan Mac tahun ini kerana menipu atau cuba menipu.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata kesemua 12 ahli terbabit didapati bersalah dan didenda sejumlah RM15,100 oleh mahkamah kerana terlibat dalam kes pengeluaran perumahan, hilang upaya dan kesihatan.

Katanya, seorang daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan manakala lapan yang lain berkemungkinan dipenjara sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

“Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan pengeluaran dari akaun mereka sendiri dan merupakan satu kesalahan serius.

“Oleh itu, ahli-ahli diingatkan agar tidak terjebak dalam penipuan pengeluaran kerana KWSP mempunyai sistem yang berupaya untuk mengesan penipuan
walaupun setelah simpanan berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Affendi berkata bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

“KWSP ingin menasihati ahli yang ingin memohon pengeluaran agar mengunjungi cawangan KWSP dan menemui pegawai kami. Proses memohon pengeluaran KWSP adalah amat mudah selagi syarat seperti mengemukakan dokumen penting dipenuhi,”
katanya.

Menurut beliau, ahli diingatkan agar tidak memohon bantuan dari pihak ketiga atau sindiket yang mungkin memperdayakan ahli bahawa mereka boleh membantu dalam membuat pengeluaran.

Ahli yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penipuan boleh menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121.

– Bernama