Peragut beg tangan berjaya ditahan polis

Polis menahan seorang lelaki yang meragut beg tangan seorang wanita warga Indonesia di Jalan Kuching, Pulau Tikus semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri dengan memecut motosikalnya sebelum terjatuh ke dalam longkang akibat dirempuh oleh sebuah teksi pada kira-kira pukul 4 petang.

“Lelaki itu memecut motosikal yang ditunggangnya selepas meragut beg tangan wanita berusia 20 tahun yang berjalan seorang diri menuju ke sebuah hospital berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, setelah wanita itu menjerit meminta tolong, seorang pemandu teksi yang menyaksikan kejadian itu terus mengekori dan merempuh motosikal peragut mengakibatkan dia terjatuh sebelum ditahan polis “ops payung” di kawasan berhampiran.

Gan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

– Bernama