Kadar kematian akibat melahirkan anak dijangka turun menjelang 2015

Kadar kematian akibat melahirkan anak dijangka turun menjelang 2015

Kementerian Kesihatan menyasar untuk mengurangkan kadar kematian akibat melahirkan anak kepada 11 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menjelang 2015.

Kementerian Kesihatan menyasar untuk mengurangkan kadar kematian akibat melahirkan anak kepada 11 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menjelang 2015 selaras dengan Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai berkata sasaran itu diyakini dapat dicapai memandangkan kadar kematian ibu yang melahirkan di negara ini telah menunjukkan penurunan yang ketara sejak negara mencapai kemerdekaan iaitu 530 kes pada 1950 dan terkini 28 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

“Kita adalah antara negara yang berjaya (mengurangkan kadar kematian). Dalam Mesyuarat Kesihatan Sedunia, negara dipuji kerana dapat menurunkan kadar kematian ibu dengan begitu drastik selepas merdeka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berjalan kaki “The 5KM Putrajaya Walk” di Taman Wetland hari ini.

Liow berkata pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan sasaran mengurangkan kadar kematian ibu semasa melahirkan anak dicapai, termasuk memperbaiki sistem penyampaian, meningkatkan bilangan pakar, jururawat dan bidan sama ada di hospital atau Klinik Kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata sehingga tahun lepas, seramai 31,000 bidan telah dilatih termasuk 19,600 jururawat masyarakat manakala jumlah jururawat dalam negara pula adalah 92,700 orang di mana 65,000 daripadanya adalah daripada sektor awam.

Kemudahan di wad-wad bersalin turut ditingkatkan termasuk dari segi kelengkapan berteknologi tinggi yang boleh mengesan sebarang masalah atau kondisi yang berbahaya lebih awal supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil, katanya.

Liow turut menasihatkan ibu agar menjalankan gaya hidup sihat, membuat lawatan berjadual di klinik, memastikan pengambilan ubat yang teratur kerana pengambilan ubat yang salah juga boleh menyebabkan kematian, serta melahirkan anak di hospital supaya tenaga pakar boleh membantu sekiranya menghadapi mereka sebarang kesukaran.

“Lebih ramai ibu-ibu yang melahirkan boleh diselamatkan sekiranya mereka tiba di hospital lebih awal. Kadang-kadang ada di antara mereka yang melahirkan anak di rumah, atau di luar bandar termasuk kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya.

– Bernama