Tipu diculik kerana wang perkahwinan

Wedding dresses / image by linder6580

Seorang lelaki sanggup memperdayakan bakal tunangnya dengan mengatakan dirinya diculik selepas terdesak untuk menyediakan wang belanja bagi majlis pertunangan dan perkahwinan mereka.
Pemuda berusia 26 tahun itu berpura-pura diculik sebelum meminta bakal tunangnya, 25, yang bekerja di sebuah hospital swasta di Damansara membayar wang tebusan bernilai RM47,000 bersama sebuah kereta pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata suspek pada mulanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon bimbitnya kepada teman wanitanya itu untuk memaklumkan kejadian berkenaan kira-kira 6.30 petang.

“Suspek memberitahu wanita itu bahawa dia telah diculik, diikat dan matanya ditutup menggunakan pita pelekat serta tidak mengetahui lokasi dan kedudukan tempat dia disembunyikan.

“Tidak sampai tiga jam kemudian, suspek sekali lagi menghantar SMS dan meminta menyediakan wang tebusan berjumlah RM47,000 dan sebuah kereta milik wanita itu dan jika tidak berbuat demikian dia akan dicederakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan rel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Tun Hisan berkata bimbang dengan keselamatan suspek, wanita itu kemudiannya bertindak membuat laporan polis dan polis terus melancarkan gerakan bagi mengesan bakal tunang mangsa yang dikatakan diculik.

Beliau berkata muslihat suspek bagaimanapun berakhir apabila dia berjaya ditahan sepasukan polis di Kuala Lumpur Sentral dekat Brickfields keesokan harinya kira-kira 10.15 malam.

“Hasil siasatan mendapati suspek sengaja mereka-reka cerita dengan mengatakan dirinya diculik kerana terdesak untuk menyediakan wang belanja sedangkan tarikh majlis itu semakin hampir,” katanya sambil menambah pasangan itu telah berkenalan sejak empat tahun lalu.
Katanya polis turut merampas dua buah telefon bimbit daripada lelaki terbabit dan kad pengenalan miliknya untuk siasatan.

Beliau berkata pihak polis tidak memandang ringan kes yang membabitkan penculikan dan akan bertindak segera sebaik menerima laporan.

Kes samun berlian berjuta di Mutiara Damansara

Dalam pada itu, mengenai kes samun barangan kemas dan berlian bernilai jutaan ringgit di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di Mutiara Damansara, beliau berkata polis sedang mengenalpasti suspek warganegara asing yang terlibat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Beliau berkata rakaman CCTV itu menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita sedang bercakap dengan pekerja premis terbabit manakala seorang lelaki menarik sebuah beg mengandungi barangan kemas tanpa disedari oleh pekerja kedai.

“Meskipun kualiti rakaman CCTV yang diperolehi rendah, kita telah menghantar beberapa keping gambar kepada Jabatan Forensik untuk peningkatan kualiti bagi mengenalpasti mereka yang terbabit.

“Kita percaya ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan umur 30-an,” katanya.

Kira-kira pukul 10.30 malam pada 29 April lepas, sekumpulan warga asing melarikan sebuah beg berisi barang kemas dan berlian selepas menyamar sebagai pelanggan ketika premis tersebut hendak ditutup di kompleks tersebut tanpa disedari sesiapa.
Katanya mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03 7966 2222 atau balai polis berdekatan.
– Bernama