Pelajar murtad UTM Dungun kembali peluk Islam

Image by sykicktb

Seorang pelajar Diploma Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara cawangan Dungun, Terengganu yang sebelum ini mengaku menukar agama kepada Kristian, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam.

Berikutan pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang jemaah di tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada Imam masjid itu selama enam bulan, berkuat kuasa hari ini.

Mohd Fariz Ilham juga diarah melaporkan diri di Pejabat Agama Dungun setiap minggu, manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Abu Bakar turut membatalkan perintah menempatkan Mohd Fariz Ilham di Pusat Bimbingan Akidah Kuala Kubu Baru di Selangor selepas berpuas hati dia mampu membaca al-Fatihah dengan baik, selain mengucap dua kalimah syahadah dan beristighfar.

Pada 24 April lalu, Mohamad Fariz dirujuk oleh keluarganya ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan selepas mengaku keluar dari Islam dan memeluk agama Kristian.

Mahkamah Tinggi Syariah kemudian mengarahkan dia ditahan reman selama seminggu selepas menerima permohonan bagi mendapatkan perintah tegahan percubaan keluar dari Islam.

Permohonan itu menyebut Mohamad Fariz, yang menggunakan nama samaran Tyrone, mula berjinak-jinak dan menghadiri upacara gereja sejak 3 Dis 2010 serta mengaku berhasrat menukar agama di luar negara.

Pada prosiding hari ini, Mohamad Fariz memberitahu mahkamah dia sudah insaf selepas ditahan reman di Penjara Pengkalan Chepa.

Dia juga merayu agar mahkamah tidak menempatkkannya di pusat bimbingan akidah kerana masih menuntut.

Pendakwaan terhadap Mohd Fariz dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Kanan Zaini Sulaiman mengikut Seksyen 102(3) Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994.

— Bernama