Elaun sara hidup hanya untuk nelayan khas, kata Menteri Noh Omar

Elaun sara hidup hanya untuk nelayan khas, kata Menteri Noh Omar

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diminta melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar bekerja sebagai nelayan sahaja yang menerima bantuan elauan sara hidup RM200 sebulan.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diminta melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar bekerja sebagai nelayan sahaja yang menerima bantuan elauan sara hidup RM200 sebulan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata ini kerana pada masa sekarang ada nelayan didapati sudah tidak turun ke laut, tetapi tetap menerima elaun tersebut.

“Kerajaan memberikan elaun RM200 sebulan kepada nelayan sebagai insentif dan motivasi kepada mereka untuk turun ke laut bagi menambah hasil tangkapan ikan tetapi jika mereka tidak turun ke laut, ini bukan matlamat kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit Buntar, semalam.

Beliau berkata peruntukan elaun itu hanya mempunyai kuota 70,000 nelayan sahaja, dan proses pemutihan itu akan dapat mengelak pertambahan perbelanjaan yang tidak sepatutnya.

Noh berkata Jabatan Perikanan juga diminta memperbaharui lesen nelayan untuk tempoh tiga tahun sekali bagi memudahkan nelayan menerima elaun sara hidup daripada LKIM mulai 1 Jun ini.

Sementara itu dalam isu lain, Noh yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata penasihat parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu dipaksa untuk melakukan sumpah laknat, sebaliknya rakyat perlu berfikir dan menilai sendiri mengapa ketua pembangkang itu enggan berbuat demikian.

Katanya ini kerana secara rasionalnya seseorang itu akan melakukan apa sahaja untuk membersihkan namanya dan bukan ‘melarikan diri’, namun Anwar sebaliknya tidak mahu berbuat demikian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media hari ini mengenai pendapat beberapa ulama yang menyarankan agar Anwar bersumpah di hadapan umum bagi membersihkan dirinya daripada tuduhan terbabit dalam satu rakaman video seks.

– Bernama