Kaum wanita dinasihat was-was lelaki Lombok

Seorang wanita Terengganu yang ditinggalkan oleh suaminya di Lombok, Indonesia, semasa mengandung dua bulan, akhirnya pulang ke kampungnya, semalam.

Harlizan Ibrahim, 36, yang mengikut pemuda Indonesia ke Lombok lebih dua tahun lalu, tiba bersama anak bongsunya Zulfaqar Abdullah Asbi, 13 bulan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi semalam.

“Saya sungguh bersyukur kerana dapat pulang setelah dua tahun empat bulan meninggalkan kampung halaman. Setelah tiga bulan saya ke sana, ayah meninggal dunia, ini menguatkan lagi keinginan saya untuk pulang menemui ibu saya,” katanya kepada pemberita.

Turut menemani Harlizan ialah kakaknya Hartini, 40 dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Badrol Hisham Zaki.
Harlizan berkata pemergiannya ke Lombok bermula satelah mengikut pemuda Indonesia itu yang berjanji akan mengahwininya di sana.

Sebelum itu, beliau telah berumah tangga dengan dikurniakan tiga orang anak lelaki berumur antara enam dan 17 tahun namun telah bercerai dengan suaminya.

Semua anaknya tinggal bersama bekas suami itu.

“Tanpa memberitahu keluarga, saya ke sana dan setelah tiba di sana, saya memaklumkan kepada keluarga yang saya akan kahwin dengan pemuda itu.

Bagaimanapun keluarga anggap itu hanyalah gurauan,” katanya. Katanya, setelah empat bulan berkahwin, suaminya meninggalkannya dan kembali ke Malaysia untuk bekerja ketika beliau baru dua bulan mengandung.

Harlizan berkata, beliau selalu juga berhubung untuk meminta duit belanjaharian dari suaminya namun dari hari ke minggu, suaminya sepi tanpa berita sehinggalah beliau melahirkan Zulfaqar.

Katanya setelah tidak tahan lagi tinggal bersama keluarga suami dan tidak mempunyai wang, beliau mula meminta bantuan pihak berkuasa dengan tinggal di Pati Sosial Budirini iaitu pusat perlindungan ibu dan anak di sana.

Harlizan berkata, beliau cuba untuk membawa pulang anaknya tetapi dihalang oleh pihak berkuasa Indonesia kerana anak itu dilahirkan di sana dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, beliau tidak sanggup berpisah dengan anaknya dan hanya menunggu masa sehinggalah diberitahu melalui telefon oleh kakaknya, ada pihak yang akan membantu membawa beliau pulang ke Malaysia.

– Bernama