Rosmah melangkah ke Sidang Kemuncak Wanita Global di Turki

Isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, akan menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 yang berlangsung
selama tiga hari mulai Khamis ini di Istanbul, Turki.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Wanita: Membina Penyelesaian Kepada Abad 21” merupakan forum tahunan bagi tokoh dan pemimpin negara merangka halatuju, strategi dan program ke arah meningkatkan pencapaian wanita dalam bidang ekonomi
dan keusahawanan.

Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut forum itu juga bertujuan memberi peluang kepada para peserta bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai amalan terbaik ke arah meningkatkan taraf ekonomi wanita di negara
masing-masing.
Sejak diadakan pada 1992, ia mendapat reputasi sebagai forum antarabangsa yang penting dan berjaya menemukan tokoh serta pemimpin wanita daripada sektor awam dan swasta dalam pelbagai bidang dari seluruh dunia.

Semasa berada di Turki, Rosmah dijadual menyampaikan ucapan dan menjadi anggota panel Forum Wanita Pertama yang akan diadakan pada Jumaat, bersama-sama isteri Perdana Menteri Turki, Emine Erdogan dan Wanita Pertama Namibia, Penehupifo
Pohamba.

Rosmah, yang akan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil dan isteri Timbalan Perdana Menteri Noorainee Abdul Rahman, dijadual berlepas petang esok.

Rombongan itu turut disertai 65 orang, termasuk anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), usahawan-usahawan wanita serta pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
serta SME Corporation.

Rosmah juga dijangka menyertai sesi dialog dan jaringan Pertubuhan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana bersama Usahawan Wanita Malaysia di sebuah hotel di Istanbul.

Selain itu, beliau turut diberi penghormatan untuk membunyikan loceng pembukaan urusniaga Bursa Saham Istanbul.

– Bernama