UUM cadang wujud zon bebas cukai di kampus

UUM cadang wujud zon bebas cukai di kampus

Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menjadi institusi pengajian pertama di dunia mempunyai kawasan zon bebas cukai di kampus induknya di sini, sekiranya kertas cadangan untuk mewujudkannya diluluskan jemaah menteri.

Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menjadi institusi pengajian pertama di dunia mempunyai kawasan zon bebas cukai di kampus
induknya di sini, sekiranya kertas cadangan untuk mewujudkannya diluluskan jemaah menteri.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata ketika ini, cadangan itu masih dalam proses perbincangan dan sedang diperhalusi oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan sebelum dibawa ke peringkat jemaah menteri.

“Berkaitan lokasi kita sudah tentukan di mana ia (kampus bebas cukai) akan dibangunkan di kawasan yang tidak akan mengganggu kehidupan pelajar.

“Cuma ketika ini, terdapat beberapa aspek berkaitan perundangan dan isu-isu teknikal yang perlu diperhalusi dan kami menyasarkan kertas cadangan dapat disiapkan sebelum pengumuman bajet pada Oktober ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kerana Jasa 2010, malam tadi.

Status bebas cukai adalah antara empat strategi UUM dalam pelan transformasi 10 tahun untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka dunia dan sebagai universiti penyelidikan dalam bidang Pengurusan dan Sains menjelang 2013.

Dengan keluasan 1,061 hektar dan jarak lingkaran jalan mengelilingi kampus hampir 13 kilometer, UUM mampu menyediakan kawasan dan kemudahan mencukupi untuk syarikat membuka premis perniagaan mereka di sini, katanya.

Mohamed Mustafa berkata projek tersebut bukan sahaja membantu penduduk sekitar menjana pendapatan tambahan malah membuka peluang kepada pelajar mendekati dunia perniagaan.

Beliau yang menyasarkan projek tersebut dilaksanakan awal tahun depan berkata reaksi di kalangan usahawan adalah positf dan ramai antara mereka telah menguarkan minat untuk turut serta.

Sementara itu, beliau berkata lokasi cadangan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kurantin (CIQ) telah dikenal pasti di kawasan zon bebas tersebut yang akan menjadi sebagai perantara sempadan antara Malaysia dan Thailand sekiranya ia dilaksanakan.

– Bernama