Perkasa sasar 100,000 ahli untuk briged para-militari

Jimadie Shah Othman | 5:28PM Apr 27

Briged Setia Negara – unit dalam Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) – yang antaranya digerakkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor Abdullah Mansor mensasarkan keanggotaan sebanyak 100,000 orang untuk kumpulan pertama.

NONE“Kita sasarkan 100,000 orang akan menyertainya. Status (keanggotaannya) setakat ini tak perlulah kita maklumkan terlebih dahulu,” kata Abdullah yang juga aktivis RELA berpangkat kolonel (kehormat).

Menurutnya lagi, kumpulan yang menyertai briged yang baru ditubuhkan pada tahun ini buat masa ini akan dilatih terlebih dahulu, antaranya melalui kursus jatidiri, perlengaan serta semangat cintakan raja dan negara.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdullah bagaimanapun menafikan briged itu merupakan satu unit khas yang ekslusif untuk anggota PERKASA, seperti dilaporkan Komunitikini semalam.

“Ia tidak ada kena mengena dengan perkara, seperti Briged Orang Asli dan briged-briged lain. Dalam briged ini, antaranya kita tanamkan semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya.

Sambil memberitahu keanggotaannya terbuka kepada semua pihak dan bukan anggota rela sahaja, Abdullah berkata pihaknya bukan hendak “merperkasakan RELA”.

bersih rally 101107 rela masjid jamek“Kebetulan mereka dalam briged ini juga berada dalam PERKASA. Kita beri keutamaan, siapa (anggota PERKASA) nak masuk, masuklah. Bukan itu sahaja, kita juga akan promosikan di sekolah melalui penubuhan Kadet RELA,” katanya.

Semalam, Komunitikini melaporkan, PERKASA memperluaskan peranan dalam perjuangan politiknya dengan menubuhkan ‘unit khas’ – Briged Setia Negara – dalam RELA, yang ekslusif untuk anggotanya.

RELA merupakan pasukan sukarela yang ditubuhkan pada 1972 bawah Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 sebagai platform kepada orang ramai membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan dan keamanan negara.

Berkuatkuasa pada 1 Februari 2005, pegawai RELA juga diberikan kuasa-kuasa tertentu dalam menangani pendatang asing tanpa izin.

[Sumbangan Malaysiakini]