Penggabungan Proton-Perodua: Siapa yang untung?

Penggabungan Proton-Perodua: Siapa yang untung?

SIRI KEDUA – Sebelum terjerumus ke dalam kesimpulan secara tergesa-gesa iaitu menggabungkan Perodua dan Proton, Majlis Penasihat yang bakal ditubuhkan seharusnya memberi tumpuan kepada masalah struktur yang dihadapi Proton terlebih dahulu dan seterusnya mengemukakan saranan yang profesional tanpa campur tangan politik.

 

Siri kedua

Campur Tangan dan Naungan Politik

Sejak permulaan, rundingan dengan Mitsubishi yang diketuai mantan Perdana Menteri Tun Mahathir pada masa itu diselubungi kerahsiaan sehingga mengecualikan MIDA dan syarikat-syarikat tempatan yang berpengalaman berhubung pemindahan teknologi dan kandungan tempatan CKD.

Hal ini mengakibatkan kontrak yang ditandatangani tersebut berat sebelah, iaitu lebih memihak kepada pihak Jepun serta Mitsubishi daripada Malaysia.

Misalnya, Proton yang seharusnya mengutamakan pasaran eksport, telah disekat untuk berbuat demikian dalam perjanjian asal kerana Mitsubishi tidak inginkan Proton bersaing dengannya dalam pasaran antarabangsa.

’Minat peribadi’ Mahathir terhadap Proton tidak terbatas sehingga mencampuri urusan pelantikan jawatan penting, pembukaan pasaran baru, membantah penjualan saham Proton dan seumpamanya. Sungguhpun beliau bukan lagi Perdana Menteri, intervensi tersebut berterusan sehingga hari ini.

Proses penswastaan Proton juga memperlihatkan pelbagai tindak-tanduk yang dicorakkan oleh kronisme dan nepotisme. Semasa penyenaraian Proton dalam Bursa Malaysia, Khazanah menjualkan 32% pegangan sahamnya yang bernilai RM1.72 bilion kepada Diversified Resources Bhd (DRB) milikan Yahaya Ahmad tanpa bidaan terbuka.

Kemudian, apabila Malaysia dilanda krisis ekonomi, Petronas terpaksa mengambil alih 27.2% saham Proton pada 29 Oktober 1998. Ini satu contoh klasik ”keuntungan diswastakan, kerugian dinasionalisasikan”!

See also  QJMOTOR shines at Canton Fair

Selain itu, kebanyakan pembekal komponen kereta Proton tidak mendapat pengiktirafan QS9000. Terdapat dakwaan bahawa barangan hasil mereka banyak bermasalah akibat terbentuk sikap keselesaan dan tidak apa kerana dijamin dengan kontrak jangka panjang dan mempunyai pertalian politik yang kuat.

Dengan kata lain, naungan politik bukan sahaja berlaku pada peringkat atasan, tetapi juga meresap ke tulang rusuk Proton sehingga peringkat rantaian pembekalan (supply chain). Lantaran itu, rakyat Malaysia dibebani kos penyelenggaraan kereta yang berlarutan.

Kegagalan Pihak Pengurusan untuk Menggariskan Serta Melaksanakan Dasar Industri Yang Mapan

Sejak permulaan, Proton telah gagal mencapai pelbagai sasaran yang ditetapkan. Antaranya termasuk:

o Pada tahun 1996, Proton mensasarkan pengeluaran sebanyak 500,000 buah kereta menjelang tahun 2000 tetapi hanya mencapai 230,000 buah. Pada tahun 2006, jualan kereta Proton tempatan hanya mencapai 115,538 unit sahaja.

o Pada tahun 1995, sasaran eksport Proton ialah 30 peratus menjelang 1998-2000. Akan tetapi, sehingga 2003, eksport hanya menyumbang 5-10 peratus daripada hasil, meskipun sasarannya ialah 30 peratus.Hakikatnya, peratusan eksport menyusut daripada 18.9% pada tahun 1992 kepada hanya 3.7% pada tahun 2002. Pada tahun 2009, Proton hanya mampu menjual 960 buah kereta di British, menjadikan bahagian pasarannya sebanyak 0.05%.

See also  JAECOO unveils J7 SUV's off-road mastery at M4TREC

o Dari segi pembangunan teknologi, Enjin Campro yang dijadualkan pengeluaran pada tahun 2000, hanya dapat dihasilkan pada tahun 2004.

Jika sekiranya kegagalan yang disebut di atas tidak ditangani terlebih dahulu, gabungan Proton dan Perodua bukan sahaja akan menghanyutkan Perodua, malahan tidak dapat menyelamatkan Proton. Tambahan lagi, para pembeli kereta di Malaysia akan kekurangan satu lagi pilihan di pasaran yang sudah terhad ekoran penalti kerajaan terhadap kereta import.

KPRU berpendapat bahawa sebelum terjerumus ke dalam kesimpulan secara tergesa-gesa iaitu menggabungkan Perodua dan Proton, Majlis Penasihat yang bakal ditubuhkan seharusnya memberi tumpuan kepada masalah struktur yang dihadapi Proton terlebih dahulu, dan seterusnya mengemukakan saranan yang profesional tanpa campur tangan politik.

Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan selama ini sama ada atas kecuaian ataupun secara sengaja telah dibangkitkan berkali-kali oleh pelbagai pihak dan membawa banyak pengajaran pahit.

Apa yang diharapkan ialah diagnosis dan tindakan yang betul dapat mentransformasikan industri automotif negara secara amnya dan Proton khasnya.