KASE alukan kaedah PDRM kendali ops perangkap laju

KASE alukan kaedah PDRM kendali ops perangkap laju

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya.

Gambar hiasan

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar berkata PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas. Beliau
seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Menurutnya Jawatankuasa tersebut mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik.

“KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

“Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz  yang juga Naib Presiden PAS berkata undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat.

Menurutnya tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar.

“Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya,”tegasnya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata KASE merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan.

Menurutnya setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi.

“Kenapa baru sekarang mereka sedar, Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM.

“Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu? Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira.

Menurutnya ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM dan adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

Mahfuz berkata KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011.

Menurutnya melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas.

“Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd. Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini.

“Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES? Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju,” tegasnya.

Mahfuz berkata, rakyat di negara ini juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti.

Menurutnya perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi dibawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis.

“Walaupun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

“Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat dan bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.