Makanan tidak sihat akan dilarang di kantin sekolah

Makanan tidak sihat akan dilarang di kantin sekolah

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan telah mencadangkan sebanyak 15 jenis makanan yang dikategori sebagai tidak sihat dilarang dijual di kantin sekolah.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan telah mencadangkan sebanyak 15 jenis makanan yang dikategori sebagai tidak sihat dilarang dijual di kantin sekolah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Makanan yang dikategorikan tidak sihat termasuklah mee segera, gula-gula, makanan berjeruk, makanan mengandungi perisa tiruan, makanan diproses seperti daging burger dan minuman berkarbonat, katanya.

Rosnah berkata selaras dengan cadangan yang dijangka dimuktamadkan pada bulan depan, pihak kementerian telah mengenal pasti 60 makanan berkhasiat seperti nasi goreng, kuetiau sup dan mee sup untuk dijual oleh pengusaha kantin sekolah.

Kesemua cadangan makanan berkenaan terkandung dalam deraf Garis Panduan Penjualan Makanan di Sekolah yang akan dilaksanakan apabila diluluskan kelak, katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan pertama Persatuan Pegawai Sains Kementerian Kesihatan (ASOMH) hari ini.

See also  Lewis Hamilton visits SMK Seri Keramat and champions STEM

Persidangan dua hari bertemakan ‘Pegawai Sains Pencetus dan Perintis Inovasi’ itu disertai hampir 250 peserta meliputi pegawai sains dari Kementerian Kesihatan, universiti dan swasta melibatkan 15 pembentangan kertas kerja. Ia bermatlamat menggalakkan perkongsian ilmu dalam bidang inovasi serta perbincangan isu-isu berkaitan perkhidmatan dan kerjaya.

Rosnah  berkata cadangan penjualan makanan berkhasiat itu penting kerana kajian yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2000 menunjukkan obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun adalah 9.7 peratus manakala pada 2008 meningkat kepada 13.7 peratus.

Mengenai pemantauan penjualan makanan tidak sihat di kantin sekolah, beliau berkata inspektor kesihatan dan pegawai kesihatan daerah melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memantau penyediaan makanan serta kebersihan di kantin.

“Kita turut mengupayakan guru-guru kesihatan di sekolah kerana kita (inspektor kesihatan dan pegawai kesihatan) tidak boleh selalu turun,” katanya.

See also  LEGOLAND (R) School Challenge calls young Asian builders 

Mengenai paten produk kesihatan, Rosnah berkata secara purata hanya 25 paten telah didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi tempoh 1990-2000. Jumlah tersebut telah meningkat daripada 198 paten pada 2008 kepada 270 paten pada 2009, peningkatan sebanyak 36 peratus, katanya.

“Jumlah ini (paten produk kesihatan) merupakan permohonan paten yang dilulus dan didaftarkan berbanding dengan beribu-ribu permohonan yang difailkan di MyIPO,” katanya, sambil mengakui tahap komersialisasi harta intelek di negara ini masih rendah.

Rosnah berkata bagi menarik lebih ramai pegawai sains mencipta alatan baru, kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk memberikan RM15,500 kepada penyelidik selain bayaran royalti sebanyak 80 peratus daripada hasil komersialisasi penyelidikan dan pembangunan.

– Bernama