Jakim bakal diberi lebih kuasa

Undang-undang baru yang digubal untuk memperkemaskan lagi industri halal negara akan memberi lebih kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menguatkuasa penggunaan dan pengeluaran logo halal di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata  undang-undang itu sedang dalam proses penggubalan oleh Penasihat Undang-undang Jakim dan Pejabat Peguam Negara.

“Akta itu akan meliputi tindakan undang-undang dan penguatkuasaan kerana dulu tidak boleh ambil tindakan kepada mana-mana individu, syarikat swasta atau mana-mana syarikat luar yang mengeluarkan sijil kerana peruntukannya tidak diperkemaskan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menjangka urusan mengenai akta itu dapat diselesaikan di peringkat Jakim pada tahun ini juga tetapi akan mengambil tempoh tertentu sebelum dibentang di Parlimen.

Jamil Khir juga berharap kesemua sekolah tahfiz di negara ini berdaftar dengan Jakim supaya sijil pelajar akan diiktiraf seperti peperiksaan awam lain sekaligus menjamin masa depan pelajar.

“Kalau ada persetujuan di peringkat negeri, baru boleh daftar. Kita nak sekolah agama ini jaga pelajar dan kita nak supaya sijil-sijil mereka diluluskan untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya.

– Bernama