Penduduk Flora Damansara berang jalan utama jadi laluan lori

Penduduk Apartmen Flora Damansara berang apabila jalan utama yang menghubungkan kawasan perumahan itu dari arah Damansara Perdana berlubang dan rosak kerana jadi laluan lori setiap hari.

Salah seorang penduduk, Mohd Ibrahim Zakaria, 45, berkata masalah jalan rosak di situ berpunca dari pembukaan sebuah tapak projek pembinaan di kawasan sejak dua bulan yang lalu.

Menurutnya keadaan itu menyukarkan penduduk apabila saban hari terpaksa berhadapan dengan masalah itu.

“Tidak ada masalah sebelum ini dan pihak pemaju kawasan ini sudahpun menaik taraf jalan ini sebelum ianya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun keadaan jadi tidak terurus sejak projek perumahan ini bermula,” katanya.

Tambahnya dia kesal lori-lori menjadikan jalan di situ sebagai laluan utama mengangkut tanah dan jentera berat.

Sementara itu, tinjauan Komunitikini ke kawasan tersebut mendapati berpuluh lori keluar masuk setiap masa samaada untuk membawa bahan binaan ataupun tanah merah.

Salah seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berharap jalan yang rosak dapat dibaikpulih segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Jalan yang rosak bukan sedikit, terlalu banyak dan mereka yang menunggang motorsikal seringkali rosak akibar terperosok ke dalam lubang ini,” katanya.

Selain itu juga kawasan itu turut menghadapi masalah habuk dan debu tanah yang kritikal dan memerlukan perhatian pihak berwajib.