Mayat bayi baru lahir ditemui di tepi Sungai Tawau

Mayat bayi baru lahir ditemui di tepi Sungai Tawau

Mayat bayi yang dimasukkan di dalam sebuah botol Nescafe telah dijumpai di tepi Sungai Tawau oleh dua orang beradik. Kira-kira 22 tahun yang lepas insiden yang sama telah berlaku di kawasan sungai tersebut.

Dua puluh dua tahun yang lepas  mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan telah ditemui orang seorang tukang kebun di tepi Sungai Tawau, yang terletak di belakang Sekolah Rendah Kebangsaan Holy Trinity yang lama.

Selepas dua pulu dua tahun, satu lagi mayat bayi yang belum dikenalpasti jantinanya, telah ditemui di sungai yang sama tetapi di lokasi yang berlainan.

Mayat bayi lelaki lebih dua dekad lalu itu ditemui dalam keadaan telanjang dan masih mempunyai tali pusat, manakala bayi yang ditemui kali ini pula telah disimpan di dalam sebuah botol Nescafe bersaiz besar.

Botol itu dijumpai selepas tersangkut di bawah sebuah jambatan di sungai berkenaan di kawasan Blok 10 Kampung Titingan pada kira-kira jam 9.30 pagi oleh seorang penduduk kampung.

Penduduk kampung berkenaan, Ronnie Jude, 32, memberitahu bahawa beliau sedang memotong kelapa apabila secara tiba-tiba adiknya datang dan memaklumkan kepadanya bahawa terdapat sebuah botol di bawah jambatan yang nampak mencurigakan.

“Bila saya sampai di jambatan, saya ambil botol tu dan cuba melihat kandungan didalamnya secara dekat. Saya ingin melihat apa yang ada di dalamnya, tetapi apabila saya membuka penutup tersebut, saya cepat-cepat menutupnya semula kerana tidak tahan dengan bau yang amat busuk,” ujar Ronnie.

Perkara itu kemudiannya dimaklumkan pada pihak polis yang tiba ditempat penemuan sejurus selepas mendapat makluman tersebut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin mengesahkan penemuan bayi terbabit dan siasatan terperinci masih dijalankan.

 

 

Gary Louis Supi