455 pelajar di parlimen Silam, Sabah terima Netbook 1Malaysia percuma

Seramai 455 orang pelajar SMK Desa Kencana, Lahad Datu menerima Netbook 1Malaysia secara percuma dalam satu majlis yang diadakan sempena Mesyuarat Agung PIBG semalam.

Ahli Parlimen Silam, Salleh Bin Kalbi merasmikan majlis penyerahan Netbook tersebut di hadapan kira-kira 800 ibu bapa. Majlis ini juga dihadiri oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, En. Bukhari Bin Yahya.

Bukhari dalam ucapannya menyebut bahawa pemberian Netbook ini adalah sebahagian daripada program Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan meningkatkan capaian jalur lebar ke seluruh negara.

Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan mengawasi anak-anak mereka yang melayari laman web sosial seperti Facebook supaya tidak menyebarkan fitnah atau menulis sebarang isu sensitif, kerana mereka mungkin boleh disabitkan bersalah jika ada aduan dibuat.

Salleh juga menekankan peranan ibu bapa sebagai ‘role model’ untuk mengubah nasib anak-anak mereka pada masa depan.

“Tiada gunanya saya berjanji bulan bintang kalau masyarakat saya mentalitinya adalah sentiasa subsidi. Kita hendaklah menjadi masyarakat yang memberi, kerana memberi itu lebih baik daripada menerima,” katanya.

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE