Kain rentang DAP di Miri disembur dengan ayat berbaur perkauman

Kain rentang DAP di Miri disembur dengan ayat berbaur perkauman

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew kecewa dengan tindakan sesetengah pihak menggunakan isu perkauman dan merosakkan bahan kempen pilihanraya di Miri, Sarawak.

Pilihanraya negeri Sarawak kali ini dikatakan merupakan pilihanraya yang paling getir dalam sejarah negeri itu.

Hari ini, April 16, merupakan hari pengundian bagi lebih daripada 900 ribu orang yang layak mengundi di Sarawak dan tumpuan seluruh negara adalah negeri Kenyalang.

Namun, di sebalik kehangatan kempen pilihanraya, terdapat pihak yang menggunakan taktik kotor di dalam menjatuhkan imej parti lawan.

Ini dapat dilihat dengan jelas di Miri apabila kain rentang berwarna-warni yang dibiayai oleh penyokong kuat Parti Tindakan Demokratik (DAP), telah dirosakkan dengan cat menggunakan yat-ayat yang kasar dan berbau perkauman.

Ahli Parlimen kawasan Kota Kinabalu, Hiew King Cheu, beserta dengan ahli-ahli DAP Sabah yang berada di Miri baru-baru ini meluahkan rasa kesal dengan ketidakmatangan pihak yang melakukan perbuatan tersebut.

Antara perkataan kesat yang ditulis diatas kain rentang tersebut adalah “Cina tidak mandi pagi” dan “Cina tidak sunat”.

“Kami baru sahaja meletakkan kain rentang tersebut pada sebelah tengahari, dan pada waktu malam, perkataan yang kesat telah ditulis di atas kain rentang tersebut,”ujar Hiew.

Malahan kata Hiew lagi, papan tanda besar yang didirikan oleh DAP juga telah dirosakkan dan dibakar.

“ Kempen ini telah bertukar menjadi buruk dengan perbuatan sedemikian berkembang menjadi suatu senario di mana pihak lawan dan penyokong-penyokong mereka menjadi semakin terdesak kerana kehilangan sokongan dalam kempen mereka,” kata Hiew.

Disebalik kempen cara kotor yang dilakukan oleh pihak terbabit, Hiew telah mengarahkan pekerja-pekerja kempen agar membiarkan sahaja kain-kain rentang dan papan tada tersebut agar dapat dilihat oleh masyarakat setempat betapa kotornya cara pihak tersebut didalam melaksanakan kempen mereka.

Dalam pada itu, Hiew yang kini berada di Miri untuk hari pengundian setelah kembalinya beliau dari kempen di Bintulu, mengingatkan rakyat Sarawak bahawa undi mereka adalah penting bagi menentukan naib masa depan negeri itu.

 

 

Gary Louis Supi