DPIM bantah jualan saham JCorp dalam Kulim Berhad


Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah meluluskan satu usul tergempar dalam mesyuarat ahli majlis tertinggi DPIM kali ke 41 pada petang semalam.

Mereka meluluskan usul untuk membantah rancangan Johor Corporations (JCorp) untuk menjual pegangan saham mereka di dalam Kulim Berhad.

YM Tengku Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail selaku Presiden DPIM telah meluluskan usul tergempar ini dan disokong sebulat suara oleh semua ahli majlis tertinggi DPIM dalam mesyuarat yang telah diadakan di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur.

DPIM memberi alasan membantah perancangan ini kerana bimbang akan timbul isu-isu berkaitan isu produk halal haram yang mungkin berlaku kemudian hari dan juga memikirkan kepentingan pegangan ekuiti perniagaan masyarakat Islam.

Mereka risau akan kepentingan bagi mereka yang terlibat secara langsung dan tidak di dalam Kulim Berhad yang mungkin akan berkurangan.

Fungsi utama DPIM adalah untuk membantu masyarakat peniaga Islam di negara ini untuk terus berdaya saing dan tahan lama.

Isu ini timbul berikutan kenyataan akhbar yang dilakukan oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas baru-baru ini.

DPMM telah menunjukkan minat yang serius bagi membeli pegangan saham JCorp di dalam Kulim Berhad setelah ada ura-ura bahawa JCorp merancang untuk menjual saham-saham tersebut.

JCorp menguasai 53% saham dalam Kulim Berhad, dimana pemilikan ini melibatkan 57.5% darinya adalah dalam QSR Brands Berhad iaitu pegangan sebanyak 50.6% dalam KFC Holdings (Malaysia) Berhad (KFCH).

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE