Bakal kontraktor wajib sertai kursus selenggara landskap awal tahun hadapan

Bakal kontraktor wajib sertai kursus selenggara landskap awal tahun hadapan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenakan syarat mewajibkan setiap bakal kontraktor dilantik perlu menyertai kursus penyelenggaran landskap mulai awal tahun hadapan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Roslan Sakiman, berkata kursus itu akan menjadi syarat utama untuk menilai kontraktor mempertingkatkan kualiti perkhidmatan penyelenggaraan landskap di daerah ini.

Menurutnya, ia berikutan unit aduan menerima banyak aduan daripada persatuan penduduk bahawa kontraktor dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut sebelum ini lambat bertindak membersihkan kawasan dilanda bencana alam seperti hujan lebat mengakibatkan pokok tumbang dan jalan berlubang.

“Dengan adanya syarat ini, setiap peserta (kontraktor) diwajibkan mengikuti kursus teori dan praktikal dipimpin tenaga pengajar berpengalaman dalam usaha meningkatkan kemahiran penyelenggaran landskap.

“Peserta memperolehi sijil diiktiraf oleh MBPJ dan Persatuan Industri Lanskap Malaysia (SILARA) sahaja boleh mengemukakan permohonan mendapatkan tender tetapi sekiranya didapati syarikat kontraktor dilantik tidak menjalankan amanah diberikan, tender akan dibatalkan dan denda penalti dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penutup Bengkel Penyelenggaran Landskap Mengikut Amalan Hortikultur Terbaik Siri 1/2011 di Kelana Jaya, hari ini.

Difahamkan, lebih 30 peserta terdiri daripada kontraktor dan kakitangan agensi penguatkuasa Petaling Jaya mengikuti bengkel berlangsung selama dua hari merupakan anjuran MBPJ dan Persatuan Arboris Malaysia.

Mengulas anggaran kos penyelenggaran landskap, Roslan berkata sebanyak RM6.1 juta telah diperuntukkan dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan Petaling Jaya bandar hijau.
Menurutnya, setakat ini hanya 20 peratus pelaksanaanya bandar hijau walaupun pelbagai kempen sedang dan telah dilaksanakan antaranya menanam pokok dan zon hijau.

“Justeru itu, kita menyasarkan 30 peratus kawasan hijau berdasarkan piawaian perbandaran negara merangkumi seluruh pelusuk Petaling Jaya menjelang akhir tahun ini.