DBKL tambah pemasangan CCTV di Kuala Lumpur

DBKL tambah pemasangan CCTV di Kuala Lumpur

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar raya dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

Datuk Bandar Ahmad Fuad Ismail berkata selaras dengan hasrat kerajaan menerusi salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah negara, usaha menggantikan CCTV sedia ada juga akan dijalankan.

Beliau berkata lokasi baru pemasangan CCTV itu akan dikenal pasti dengan
bantuan polis yang akan memantaunya.

“Tunggu perbincangan dan maklumat dari pihak polis dahulu, baru kita akan
tahu tempat mana yang paling diperlukan dan kita akan pasang secepat mungkin,”
katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Local Agenda 21 (LA 21) Kuala Lumpur, tema Bandar Raya Selamat di sini, hari ini.

Beliau berkata selain turut berfungsi untuk mengawal masalah kesesakan lalu
lintas, kehadiran CCTV itu juga dapat memberi tanggapan positif kepada warga
kota mengenai keselamatan diri mereka yang sentiasa dipantau.

Selain itu, katanya, DBKL sedang menyediakan bajet untuk pemasangan CCTV
berkenaan dengan kualiti CCTV dalam memaparkan imej adalah lebih jelas termasuk
fungsinya yang pelbagai guna untuk menjaga harta benda awam.

Terdahulu, Ahmad Fuad turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian
persefahaman oleh 22 rakan perkongsian Program LA 21, bagi Bandar Raya Selamat.

Beliau berkata, rakan kongsi yang terdiri Pihak Berkuasa Tempatan, sektor
swasta, Badan bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan berasaskan komuniti akan
merangka satu pelan tindakan baru berkaitan bandar raya selamat.

Antara rakan kongsi terlibat ialah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (KL),
Yayasan Muamalat Belia, Rakan Cop, Low Yat and Sons Sdn Bhd, Persatuan Penduduk
Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Hotel Prince (KL), Jabatan Perancangan Bandar dan
Desa Semenanjung, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan
DBKL.

Beliau berkata, mereka juga bertanggungjawab memantau keberkesanan pelan
tindakan itu kelak supaya ia mencapai sasaran.

Selain Bandar Raya Selamat, tiga tema lain ialah Bandar Raya Sejahtera,
Bandar Raya Bersih dan Indah, serta e-Bandar Raya, yang merangkumi pelan
tindakan global ke arah pembangunan mampan untuk abad ke 21.

– Bernama