Keda sedia bina lebih rumah jika kerajaan Kedah sedia tanah

Gambar hiasan PPRT

Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) bersedia membina lebih banyak rumah di bawah penempatan Desa Keda sekiranya kerajaan negeri Kedah dapat menyediakan tanah bagi projek perumahan golongan miskin itu.

Pengerusi Keda Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata agensi itu tidak mempunyai masalah menyediakan peruntukan membina rumah dengan kos RM33,000 seunit itu.

“Keda banyak menerima permohonan daripada orang ramai bagi mendapatkan bantuan rumah.

“Bagaimanapun tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sekiranya kerajaan negeri bersedia menyediakan tanah, Keda akan mengeluarkan peruntukan bagi membina lebih banyak rumah,” katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Beliau berkata desa Keda adalah kawasan perumahan tersusun yang memberi peluang kepada golongan miskin memiliki kediaman sendiri yang selesa dan dilengkapi kemudahan asas seperti padang permainan dan surau.

Sehingga kini, sebanyak 56 Desa Keda telah diwujudkan di seluruh negeri ini dengan menyediakan 4,750 unit rumah.

Selain Desa Keda, agensi kerajaan Persekutuan itu juga menyediakan kampung tradisi dan sehingga kini terdapat tujuh kampung tradisi dengan 2,600 unit rumah.

“Selain itu, di bawah Program Bantuan Rumah (PBR), Keda melaksanakan program membaik pulih rumah yang sudah usang dan membina rumah baru kepada orang miskin yang mempunyai tanah sendiri,” katanya.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah berkata Keda memperuntukkan puluhan juta ringgit setiap tahun bagi membantu golongan miskin mendapat rumah yang lebih selesa.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak RM2.9 juta disediakan bagi membina 900 unit rumah di bawah skim PBR itu.

-Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE