Penyerahan geran kepada pemilik rumah di Rawang ditangguhkan

Penyerahan geran kepada pemilik rumah di Rawang ditangguhkan

Kerajaan Negeri Selangor terpaksa menangguhkan penyerahan geran tanah kepada 135 pemilik rumah di Desa Kuala Garing Rawang sehingga isu pengambil alihan dewan selesai.

Gambar hiasan

Kerajaan Selangor terpaksa menangguhkan penyerahan geran tanah kepada 135 pemilik rumah di Desa Kuala Garing sehingga isu pengambil alihan dewan selesai.

ADUN Rawang, Gan Pei Nei berkata ia memandangkan isu dihadapi 135 buah rumah sekarang dalam pemprosesan.

Menurutnya, dalam mesyuarat EXCO negeri Selangor lalu, kerajaan negeri telah meluluskan hak milik tanah 135 buah rumah tersebut tetapi dengan syarat Dewan MCA dalam pelan mesti ditukarkan kepada dewan orang ramai.

“MCA telah memaklumkan surat guaman kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan enggan menyerahkan Dewan MCA menukar status kepada Dewan Orang Ramai.

“Hal ini menyebabkan pemprosesan geran tanah terpaksa ditangguhkan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Pei Nei berkata apabila kerajaan pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor pada Mac 2008, kesemua dewan orang ramai di atas kawasan lapang dan tanah-tanah milik kerajaan mesti diserahkan kepada Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Menurutnya, kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kemudian akan menyerahkannya semula kepada pihak atau agensi yang boleh menguruskannya dengan adil sekali gus memberi peluang kepada semua rakyat untuk menggunakan kemudahan dewan tersebut.

“Setelah MPS mengeluarkan notis untuk mengambil alih dewan tersebut, MCA telah mengeluarkan surat guaman membalas bahawa mereka mempunyai hak milik tanah serta kontrak bersama syarikat Lafarge.

“Keadaan ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan penyerahan geran tanah kepada 135 pemilik tanah sehinggan isu pengambil alihan dewan ini selesai,” ujarnya.

Pei Nei berkata, beliau dan pihak Lafrage bersetuju untuk memproses geran tanah untuk 135 rumah dahulu dalam satu mesyuarat yang diadakan pada bulan lepas.

Pada masa yang sama beliau juga mengarahkan pihak Pejabat Tanah Gombak untuk mempercepatkan pemprosesan geran tanah untuk 135 pemilik rumah.

“Sekiranya MCA betul-betul menjaga kepentingan awam,mereka patut serahkan dewan tersebut kepada MPS untuk kegunaan awam memandangkan kawasan Kuala Garing memang kekurangan dewan.

“Dengan ini, semua pihak boleh menggunakan dewan tersebut untuk aktiviti komuniti tanpa mengira latar belakang politik,” tegasnya.