Tanah wakaf bernilai RM1.2bil, kutipan zakat tahun lepas, RM1.3bil

Image by sykicktb

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mashitah Ibrahim berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri (Main), sehingga kini terdapat 13,397.97 ribu hektar tanah wakaf di Malaysia dianggar bernilai RM1.2 bilion.

Beliau berkata demikian dalam jawabannya kepada Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota), berhubung nilai terkini harta wakaf, harta pusaka serta nilai kutipan zakat seluruh negara,

Beliau tambah lagi, daripada jumlah itu, 7,113.35 hektar merupakan tanah am dan 6,284.62 hektar adalah tanah wakaf khas manakala bagi nilai harta pusaka maklumat yang diperolehi daripada Main seluruh negara sehingga 2009 adalah RM38.7 juta.

“Jumlah kutipan zakat untuk tahun lepas pula adalah RM1.3 bilion. Bagaimanapun, jumlah ini belum muktamad iaitu tertakluk kepada audit pihak juruaudit Main masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bagi memperbaiki pengurusan zakat terutamanya aspek pengagihan, terdapat enam negeri telah mengkorporatkan entiti kutipan zakat mereka dan bagi negeri-negeri lain, pengurusan zakat dibuat oleh Main atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sendiri.

— Bernama