Proses penceraian segera di Makhamah Syariah

Proses penceraian segera di Makhamah Syariah

Bahagian Sokongan Keluarga akan bantu golongan isteri yang diceraikan, termasuk menjejaki suami dan menguatkuasakan perintah makhamah.

Image by Billy Alexander

Pewujudan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap Mahkamah Syariah di seluruh negara telah menyegerakan proses penceraian di mahkamah itu sekaligus membantu golongan isteri yang diceraikan yang dibebani dengan pelbagai masalah atau hal yang berkaitan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mashitah Ibrahim berkata golongan isteri yang diceraikan atau ibu tunggal boleh merujuk masalah mereka di BSK yang membantu usaha menguatkuasakan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah dalam kes hal ehwal kekeluargaan, terutamanya dalam perkara berkaitan nafkah dan hak penjagaan anak.

Beliau berkata pegawai-pegawai BSK akan membantu mereka, termasuk dalam menjejaki suami, di samping menangani pelbagai isu yang dapat menyegerakan proses, kerana kes-kes penceraian biasanya akan memakan masa terutama dalam urusan nafkah.

“Isteri yang menuntut (cerai) perlu membuktikan kepada mahkamah (kenapa) dia menuntut penceraian itu, terutama mereka kena bawa bukti suami tidak membayar nafkah,” katanya menjawab soalan Idris Harun (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Idris bertanya mengenai peranan kementerian dalam membantu isteri-isteri yang diceraikan suami di mana mereka terpaksa melalui proses mahkamah syariah yang panjang sehingga berlaku penganiayaan dan tanggapan negatif masyarakat terhadap kredibiliti Mahkamah Syariah.

Dr Mashitah berkata selain itu, berikutan prosedur dan tatacara perbicaraan di Mahkamah terikat dengan undang-undang yang ditetapkan, kerajaan melalui agensi Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri mengambil langkah-langkah mengusahakan penyelesaian kes menerusi Majlis Sulh, BSK Transit dan Skim Bantuan Dana BSK bagi membantu
isteri-isteri yang diceraikan.

— Bernama