Pilihanraya Sarawak: Liow janji RM460 juta untuk hospital baru di Petra Jaya

Image by hamma

Kementerian Kesihatan akan memperuntukkan kira-kira RM460 juta untuk membina sebuah hospital pakar dan sebuah poliklinik di Petra Jaya berikutan populasi penduduk yang semakin meningkat di bandar raya ini.

Liow Tiong Lai

Menterinya Liow Tiong Lai berkata kementerian sedang dalam proses mengenal pasti lokasi projek tersebut yang dijangka dapat disiapkan pada 2014.

“Dengan adanya hospital dan klinik baru, maka kesesakan di Klinik Kesihatan Tanah Putih dan Hospital Umum Sarawak akan berkurangan.

Pelan pembinaan ini telah pun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

“Buat masa kini kita tidak ada maklumat tepat mengenai kosnya kerana rangka pelannya belum keluar. Jadi peruntukan sebenar belum dapat diumumkan, selepas siap reka bentuk dan keperluannya, saya rasa antara RM300 (juta) ke RM460 juta,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Tanah Putih di sini, hari ini.

Beliau turut diiringi oleh calon Barisan Nasional (BN) daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pending pada pilihanraya negeri kali ini Profesor Dr Sim Kui Hian, seorang pakar jantung.

Liow juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Tanah Putih yang semakin daif serta untuk mengatasi masalah kesesakan.
Beliau juga berkata kementerian bercadang untuk menambah 1,000 lagi ruang parkir di Hospital Umum Sarawak dengan membina bangunan bertingkat untuk tujuan tersebut.

“Kesesakan di hospital ini memang merupakan satu isu besar di sini, sebab itu kita turut menyediakan pelan perancangan untuk membina bangunan tersebut bagi membantu mengurangkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata untuk pembinaan tempat letak kereta itu, kementerian sedang menimbang dua cara iaitu secara tender terbuka menggunakan peruntukan kerajaan, atau menggunakan ‘inisiatif pembiayaan swasta’.

— Bernama