Koh: Peruntukan untuk sekolah mubaligh bukan sekadar pujuk pengundi Kristian

Koh: Peruntukan untuk sekolah mubaligh bukan sekadar pujuk pengundi Kristian

Sekolah mubaligh di Sarawak diberi keutamaan menerima dana untuk membaiki bangunan yang telah uzur daripada peruntukan yang disediakan untuk sekolah jenis itu dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Koh Tsu Koon.

“Peruntukan yang disediakan ialah RM70 juta bagi 2011 dan 2012 dan daripada RM35 juta yang diperuntukkan bagi 2011, 127 sekolah mubaligh di Sarawak diberi keutamaan menerimanya kerana kebanyakan sekolah jenis ini amat perlu dibaiki, terutama sekolah di luar bandar,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan untuk memberi penjelasan tentang peruntukan yang disediakan untuk sekolah berkenaan dalam tempoh RMK-10 yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak ketika membentangkan rancangan itu di Parlimen tahun lepas.

Koh berkata peruntukan itu bukan disediakan khusus untuk Sarawak dan bercanggah dengan anggapan sesetengah anggota media kononnya ia adalah percubaan untuk memujuk hati masyarakat Kristian dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

See also  APU welcomes Fulbright Scholar Dr. Kelly McKenna

Beliau berharap penjelasan itu akan melenyapkan spekulasi tentang usaha kerajaan membantu sekolah mubaligh. “Mengaitkannya dengan isu Alkitab juga adalah suatu perbuatan nakal kerana dua isu itu langsung tiada kaitan,” katanya.

Koh berkata setiap sekolah mubaligh di Sarawak telah diberi peruntukan awal RM50,000 manakala baki peruntukan yang disediakan untuk negeri itu akan disalurkan mengikut keperluan sesebuah sekolah.

“Kerajaan telah berbincang dengan semua pemegang kepentingan, termasuk Persekutan Sekolah-sekolah Mubaligh Malaysia, yang telah mengadakan pertemuan dengan saya beberapa kali.

“Mereka bekerja keras untuk mengenal pasti keperluan setiap sekolah mubaligh di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dan kami berterima kasih atas usaha mereka itu,” kata beliau.

Koh berkata selain beliau, beberapa menteri, termasuk Bernard Dompok (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Peter Chin Fah Kui (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air), Dr Maximus Ongkili (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Douglas Uggah Embas (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) juga telah mengadakan beberapa pertemuan untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan Persekutan Sekolah Mubaligh Malaysia.

See also  Lewis Hamilton visits SMK Seri Keramat and champions STEM

Satu cadangan bersama telah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyuddin Yassin pada bulan lepas, kata Koh.

Beliau berkata baki peruntukan berkenaan akan diagihkan kepada sekolah mubaligh di Sabah dan Semenanjung Malaysia secara berperingkat pada tahun ini dan 2012.

Kata beliau peruntukan dana bagi sekolah mubaligh, sekolah agama, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi pada 2009 dan RMK-10 dibuat untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan sekolah itu dalam membentuk dan memupuk generasi muda Malaysia ke arah menjadi insan berguna.

– Bernama