Polis serbu sindiket judi bola Primera Liga

Polis serbu sindiket judi bola Primera Liga

Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan judi pertaruhan keputusan Liga Super Perdana dan Liga Sepanyol, dalam satu serbuan di Kampung Seri Parit Lukut, Port Dickson, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Hamdan Majid berkata ketiga-tiga lelaki itu didapati sedang sibuk membuat transaksi perjudian ketika tempat mereka diserbu pada kira-kira pukul 11.25 malam.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 19 dan 31 tahun, dipercayai mengambil pertaruhan secara on line dengan menggunakan laman web khas.

“Polis turut merampas sebuah komputer, mesin kira dan sebuah telefon yang digunakan untuk mengambil pertaruhan. Jika ada pemenang di kalangan pelanggan mereka, duit akan dimasukkan terus melalui transaksi akaun internet,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Hamdan berkata polis percaya kumpulan ini boleh mendapat keuntungan sehingga RM5,000 setiap perlawanan.

– Bernama