Alor Setar kutip RM15.3 juta hasil cukai, Jan hingga Mac

Image by sqback

Faktor kesedaran orang ramai dan terdapat kemudahan dalam talian bagi pembayaran cukai, membolehkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperoleh hasil cukai tertinggi pada suku pertama tahun ini mulai Januari hingga Mac.

Hasil cukai yang dipungut bagi tempoh tersebut ialah RM15.3 juta.

“Ia merupakan kutipan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh MBAS sejak 10 tahun lalu (mulai 2000) iaitu secara purata sekitar RM10 juta hingga RM12 juta setahun.

“Ini merupakan perkembangan dan kesedaran yang baik dari orang ramai yang bertanggungjawab untuk menjelaskan cukai serta membaharui lesen perniagaan dengan menggunakan kemudahan pembayaran secara online yang disediakan pihak bank,” kata Datuk Bandar Alor Setar, Khazali Din.

Beliau berkata peningkatan sebanyak 22 peratus itu disumbang oleh kutipan hasil cukai pintu sebanyak RM10.5 juta iaitu melalui kutipan bil semasa sebanyak RM8.8 juta dan tunggakan sebanyak RM1.6 juta.

Beliau berkata MBAS akan meneruskan usaha mengutip cukai melalui pengeluaran notis ‘E’ bermula bulan lalu dan pertengahan bulan ini dan
mengeluarkan waran sita terhadap pemilik premis yang mempunyai bayaran tunggakan.

Khazali menjelaskan 30,953 notis E telah dikeluarkan untuk bayaran tunggakan berakhir penggal pertama tahun ini dan operasi menyita akan bermula 18 April ini.

“Sejumlah daripada hasil cukai yang dipungut akan digunakan untuk melakukan kerja-kerja baik pulih infrastruktur di sekitar bandar raya ini yang rosak akibat banjir November tahun lalu dan bencana ribut bulan lalu,” katanya.

— Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE