Kedah wujud gabungan anti-sampah

Kedah wujud gabungan anti-sampah

Awas kutu sampah. Anda sedang diperhatikan.

Prihatin dengan soal kebersihan di bandar raya ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan menubuhkan pasukan sukarelawan
anti-sampah bagi mengambil tindakan terhadap orang ramai dan pihak industri yang membuang sampah sesuka hati.

Datuk Bandar Alor Setar, Khazali Din, berkata pasukan sukarelawan tersebut terdiri daripada anggota badan bukan kerajaan, pelajar, anggota Majlis Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

“Kita berikan kuasa kepada anggota sukarelawan ini untuk mencatat identiti dan merakam bukti mengenai kesalahan seseorang membuang sampah untuk dikemukakan kepada kita bagi tindakan lanjut.

“Ia diharap dapat menangani masalah pembuangan sampah yang sering dilakukan orang ramai yang kurang kesedaran sivik,” katanya kepada pemberita.

Khazali berkata sukarelawan tersebut akan turut bertumpu di pekan-pekan kecil di dalam Daerah Kota Setar seperti Pokok Sena, Langgar, Simpang Empat, Bukit Pinang, Kuala Kedah dan Kuala Sungai.

“Ini kerana di pekan-pekan kecil sering terdapat peniaga dan pasar basah  membuang sampah secara berleluasa yang memerlukan pemerhatian pasukan sukarelawan tersebut untuk melaporkannya kepada MBAS.

“Selain itu sukarelawan juga boleh menyalurkan maklumat mengenai institusi yang membuang sampah di tempat pembuangan sampah haram agar perkara itu dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau menjelaskan MBAS akan turut bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta bagi menubuhkan sebuah pusat pelupusan sampah di bandar raya ini.
“Syarikat ini akan mengumpul sampah yang terdapat di 11 pasar basah di sekitar Alor Setar untuk diproses di pusat pelupusan berkenaan untuk dijadikan baja kompos dan sekaligus dapat mengurangkan kos dan masa pihak MBAS untuk menghantar sampah dari pasar basah ke pusat pelupusan sampah di Jabi, Pokok Sena,” kata Khazali.

— Bernama