Pilihan raya Sarawak: Polis kenal pasti enam kawasan panas

Polis mengenal pasti enam kawasan panas yang akan diberi lebih tumpuan dari segi kawalan keselamatan sepanjang tempoh berkempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 yang bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein berkata kawasan DUN tersebut terletak di kawasan bandar iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.

Kawasan panas ini tidak melibatkan kawasan luar bandar kerana sukar untuk penyokong dari mana-mana parti yang berkempen untuk ke kawasan tersebut, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat polis mengenai persiapan pilihan raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak semalam.

Apabila ditanya mengenai faktor polis mengkategorikan kawasan itu sebagai kawasan panas, Hishammuddin berkata ianya berdasarkan pengalaman polis yang telah menghadapi pilihan raya sebelum ini dan faktor yang mencetuskan keadaan “panas” di kawasan berkenaan. Selain itu, pertandingan yang membabitkan lebih dua calon di satu-satu
kawasan itu boleh dijadikan faktor kawasan itu dikategorikan panas, katanya.

Hishammuddin berkata seramai 11,300 anggota polis termasuk anggota sokongan dari Polis Kontinjen Sabah serta sebahagian kecil dari Semenanjung telah ditugaskan di negeri Sarawak bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang pilihan raya ke-10 negeri Sarawak.

Dalam pada itu, Hishammuddin mahu semua pihak yang berkempen terutama yang
datang dari luar Sarawak tanpa menggira parti supaya menjaga keharmonian, keselesaan dan keamanan negeri ini.

Hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan dijalankan
hari ini, dan pengundian pada 16 April.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE