Surat: Penjelasan berhubung gangguan bekalan air di Subang Jaya

Surat: Penjelasan berhubung gangguan bekalan air di Subang Jaya

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tampil memberi penjelasan sebenar berhubung kejadian gangguan bekalan air yang telah berlaku di beberapa kawasan sekitar Subang Jaya pada 31 Mac 2011 sehingga 3 April yang lalu.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)  tampil memberi penjelasan berhubung kejadian gangguan bekalan air yang telah berlaku di beberapa kawasan sekitar Subang Jaya pada 31 Mac 2011 sehingga 3 April yang lalu.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat, Abdul Halem Mat Som berkata ia berikutan pihak SYABAS telah menerima banyak maklumbalas dan rungutan daripada para pengguna yang mendakwa bahawa mereka tidak diberi notis lebih awal tentang gangguan bekalan air yang berlaku.

Menurutnya, gangguan bekalan air yang dirancang awal, biasanya melibatkan kerja-kerja naik taraf ini disebut gangguan berjadual.

“Walau bagaimanapun bagi kes yang terbaru di Subang Jaya ini, gangguan yang berlaku adalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang biasanya disebabkan masalah-masalah teknikal dan kerosakan termasuklah kes-kes paip pecah. Oleh sebab itulah tiada notis awal dikeluarkan,” katanya menerusi satu kenyataan media lewat petang tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Halem berkata adalah menjadi praktik di dalam Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) dan Piagam Pelanggan SYABAS bahawa bagi gangguan bekalan air berjadual, notis-notis pengumuman akan dikeluarkan oleh SYABAS sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh berlaku gangguan menerusi media serta Unit YAKIN (Unit Kerjasama Informasi Pelanggan) dan ICU (Unit Pelanggan Industri) supaya para pengguna boleh membuat persediaan awal menghadapi gangguan bekalan air.

Menurutnya notis telah dikeluarkan pada 2 April dan disiarkan di dalam media pada 3 April setelah pihak SYABAS mendapati kawasan gangguan bekalan air tidak berjadual ini bertambah luas dan melibatkan lebih ramai pengguna.

“Kawasan Petaling Jaya termasuk Subang Jaya menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Selangor yang disalurkan menerusi tiga buah kolam simpanan air utama, iaitu Kolam Air Bukit Gasing, Kolam Air Effingham dan Kolam Air Subang Airport,” katanya.

Abdul Halem berkata pihak SYABAS mendapati berlaku peningkatan terhadap permintaan bekalan air yang berterusan dari kawasan Petaling Jaya termasuk Subang Jaya sejak akhir-akhir ini.

See also  Air Itam Dam low on water, PBAPP urges conservation 

Pada masa yang sama, menurutnya sumber bekalan air utama ke kawasan ini iaitu Loji Sungai Selangor Fasa 1 dan 2 telah digunakan pada tahap kapasiti maksima.

“Selain itu, tambahan bekalan air daripada loji sungai Selangor Fasa 3 adalah terhad disebabkan oleh kapasiti saluran paip sedia ada ke kawasan ini yang juga terhad,” jelasnya.

Beliau berkata beberapa kolam bekalan air utama seperti Kolam Air Effingham, Kolam Air Bukit Gasing dan Kolam Air Subang Airport sentiasa berada pada paras yang agak rendah kebelakangan ini walaupun ianya masih boleh membekalkan air yang mencukupi.

Untuk makluman pengguna, menurutnya pihak SYABAS telah menghadapi masalah untuk mengisi kolam-kolam air ini pada tahap yang tinggi sejak beberapa hari yang lalu.

“Ini bermakna kesemua jumlah air yang dibekalkan hanya cukup untuk menampung keperluan semasa dan tidak ada kapasiti tambahan untuk meningkatkan simpanan di dalam kolam air,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul halem berkata dengan permintaan air yang bertambah pada waktu puncak seperti yang berlaku pada tempoh 31 Mac hingga 1 April lalu, paras kolam-kolam air ini semakin menurun sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di beberapa kawasan khususnya kawasan Subang Jaya.

Menurutnya, gangguan bekalan air tidak berjadual ini mula dirasai di sebahagian kecil kawasan Subang Jaya pada 31 Mac dan merebak ke kawasan yang lebih luas pada 1 April.

“Pada peringkat awal SYABAS telah menghantar bekalan air bersih ke kawasan yang terlibat melalui lori tangki dan bilangan lori tangki ini telah bertambah sehingga sembilan buah pada 2 April memandangkan gangguan bekalan air telah melibatkan bilangan pengguna yang lebih ramai,” katanya.

Selain itu, Abdul Halem berkata pihak SYABAS telah mengambil tindakan serta merta dengan mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di peringkat Wilayah Petaling pada hari Sabtu, 2 April 2011 jam 3.30 petang.

Menurutnya, sebagai penyelesaian sementara, pihak SYABAS terpaksa menyalurkan bekalan air alternatif daripada simpanan air di kolam-kolam air yang berhampiran ke kawasan gangguan yang terlibat.

See also  ASIAWATER tackles water security challenges in SEA

“Di samping itu, permintaan air di kawasan Petaling Jaya termasuk Subang Jaya juga telah berkurangan pada hujung minggu iaitu pada 2 dan 3 April,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan permintaan air ini secara tidak langsung telah membantu memulihkan paras air dalam kolam dan seterusnya memulihkan bekalan air di kawasan yang terlibat seperti sediakala.

Malah, menurutnya pihak SYABAS berharap dengan penjelasan yang diberikan, para pengguna dapat memahami situasi sebenar berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di sekitar kawasan Subang Jaya ini.

“Kejadian yang telah berlaku juga menunjukkan bahawa di sesetengah kawasan di bandar terutama yang berpenduduk padat telah mula mengalami masalah kekurangan bekalan air akibat penggunaan air yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Halem berkata memandangkan kapasiti penggunaan air telah mencapai tahap maksimum untuk beberapa loji utama, SYABAS ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pengguna supaya menggunakan air secara berhemah.

Seperti yang telah diutarakan oleh pihak SYABAS sebelum ini, menurutnya kapasiti bekalan air telah hampir-hampir tidak mencukupi untuk menampung keperluan pembekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Justeru itu, SYABAS sekali lagi ingin menggesa pihak kerajaan untuk membangunkan sumber bekalan air tambahan bagi menampung keperluan air yang kian meningkat,” katanya.

Abdul Halem berkata pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berhubung bekalan air disarankan untuk menghubungi terus talian bebas tol PUSPEL iaitu 1- 800 – 88 –5252 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau SMS ke 39222 dengan menaip: PUSPEL untuk tindakan segera dilaksanakan oleh pihak SYABAS.

“Selain itu, para pengguna juga boleh melayari laman sesawang Twitter dengan menaip www.twitter.com/puspel serta membuat carian ‘puspel syabas’ di Facebook,” ujarnya.