Kosmetik berharga RM39,000 dirampas di perairan Sandakan

Kosmetik berharga RM39,000 dirampas di perairan Sandakan

13,272 unit kosmetik yang bernilai RM39,000 yang cuba diseludup ke Sabah tidak kesampaian apabila percubaan beliau itu telah berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Niat seorang juragan kapal untuk menyeludup masuk sejumlah 13,272 unit kosmetik  ke Sabah tidak kesampaian apabila percubaan beliau itu telah berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 4 Sandakan di kawasan perairan laut Pulau Berhala Darat baru-baru ini.

Jaime Lawingan yang berusia 32 tahun merupakan seorang pemegang pas lawatan yang beralamat di Zamboanga Filipina. Beliau telah ditahan bersama 14 orang anak kapalnya dan akan dibicarakan dibawah Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1952.

Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Sandakan, ASP Muhammad Sallam Sapawi, barang-barang kosmetik tersebut disyaki dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di daerah ini.

Sallam berkata, “ Bertindak atas maklumat, pada hari sama lebih kurang pukul 6.05 minit petang, bot Ronda RH 24 menjalankan intipan dan pemantauan di kawasan perairan tersebut dan telah menahan serta memeriksa sebuah kapal kumpit (sistem pertukaran) M/L Kadzrina dari negara Filipina.

Hasil pemeriksaan mendapati bahawa terdapat pelbagai jenis barangan kosmetik keluaran negara jiran disembunyikan di bahagian bawah lantai kapal yang telah diubahsuai di tingkat atas kapal tersebut, kata Sallam lagi sambil menambah kesemua barangan kosmetik tersebut adalah berjumlah sebanyak RM39,024.

Barangan kosmetik yang dirampas adalah Serbuk Bedak Tawas Merah sebanyak 11, 184 unit, Serbuk Bedak Tawas Kuning sebanyak  1,128 unit dan Kosmetik berjenama JIA sebanyak 960 unit.

Kapal tersebut kemudiannya dibawa ke markas PGM Sandakan manakala laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

 

Gary Louis Supi