Bangkit, Kaum Hawa Malaysia!

Bangkit, Kaum Hawa Malaysia!

Perangkaan wanita menarik: 55 peratus jumlah tenaga kerja di Malaysia; lebih 60 peratus penuntut di IPT; hanya 13.4 peratus anggota lembaga pengarah di sektor swasta; bilangan CEO dalam GLC 2.6 peratus; 14.9 peratus pembuat keputusan di badan-badan berkanun.

 

Bangkit! Bangkit! image by lusi

Lagu Inggeris, “I’ve been to paradise but I’ve never been to me” oleh Charlene Duncan, yang muncul pada awal 1980-an, menyentuh perasaan ramai wanita setiap kali mereka mendengar lagu itu di radio.

Lagu ini yang sedikit sebanyak mengisahkan bagaimana kehidupan wanita yang penuh dengan rasa tidak puas hati serta kongkongan telah berubah masih disiarkan hingga hari ini dan merupakan antara lagu yang diminati penulis. 

Nada lagu ini menenangkan minda dan membuatkan wanita berasa yang mereka dihargai bagi segala sumbangan mereka demi keluarga, adik beradik, anak, orang disayangi serta masyarakat dan negara.

Pelbagai peranan wanita

Charlene Duncan

Wanita memainkan peranan utama dalam kehidupan ramai hari ini, terhadap anak-anak sebagai ibu tunggal atau dalam satu institusi keluarga bahagia, sebagai isteri atau anak dalam keluarga seluruh dunia. 

Memikul pelbagai tugas merupakan rutin harian mereka, bertukar peranan dengan begitu lancar sehingga pertukaran itu tidak dapat dilihat. Mereka juga menunjukkan kehebatan masing-masing sebagai pembuat keputusan dalam alam pekerjaan, di sektor awam dan swasta.

“Wanita diperkasa untuk membuat keputusan yang menambah baik kehidupan mereka, membawa kesejahteraan yang lebih dan kepuasan diri. Saya pasti pasangan hidupnya akan menghargai pencapaian serta sikap positif ini pada wanita.  

“Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan kerja di tempat kerja pada siang hari dan sebagai wanita dengan komitmen serta tanggungjawab keluarga sehingga penghujung hari,” kata Serena Lee, seorang wanita muda dalam usia 20-an, semasa sambutan Hari Wanita di ibu negara baru-baru ini.

Sebanyak 47 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada wanita dan bilangan ini disasarkan akan meningkat kepada 55 peratus dalam tempoh terdekat. Lebih 60 peratus daripada penuntut di institusi pengajian tinggi terdiri daripada kaum hawa.

Berani dan menawan

Semakin ramai wanita yang menimba ilmu dalam mengejar kerjaya yang mereka impikan. Jurutera wanita, doktor wanita, peguam wanita, akauntan wanita bersama rakan arkitek mereka semakin hari semakin meningkat bilangannya.

“Buat masa ini terdapat lima orang wanita yang memegang jawatan ketua setiausaha kementerian, termasuk saya. Dalam pentadbiran tertinggi Sektor Awam, 32 peratus daripada jawatan peringkat Jusa dipegang oleh wanita. Dan ini membuktikan bahawa Malaysia bernasib baik kerana mempunyai ramai wanita yang berkemampuan dan kreatif,” kata Dr Noorul Ainur Mohd Nur, ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Noorul sebelum itu mengambil satu peranan kecil dalam pembukaan persembahan ‘Women by Women’ bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 100, Hari Wanita peringkat kebangsaan awal bulan ini yang bertemakan ‘Wanita:100 -Menghargai Sumbangan Produktif dan Proaktif 100 Tahun Wanita kepada Bumi’.

Wanita dari industri seni pentas termasuk dari Actor’s Studio, Five Arts Center, Instant Cafe Theatre Company, Aswara dan Pentas Project Theatre antara lain mengambil pelbagai peranan untuk menunjukkan sumbangan penting wanita kepada masyarakat, ekonomi negara serta keluarga mereka.

Dan ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran kaum wanita, selain memperkasa wanita sepanjang 2011.

Pengurusan tertinggi

Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W Jones, menyokong projek-projek yang menggalakkan pembabitan serta penyertaan meluas wanita dalam masyarakat.

Bagaimanapun, Jones bersetuju bahawa skop serta skala penyertaan wanita boleh dipertingkat lagi. Di Malaysia, lebih 32 peratus pembuat keputusan di sektor awam adalah wanita tetapi bilangan ini jauh lebih kecil di sektor swasta.

Hanya 13.4 peratus daripada anggota lembaga pengarah di sektor swasta adalahwanita. Sehingga 2010, bilangan Ketua Pegawai Eksekutif dalam syarikat-syarikatberkaitan kerajaan atau GLC begitu rendah sekali iaitu sebanyak 2.6peratus dan hanya 14.9 peratus daripada pembuat keputusan di badan-badan berkanun adalah wanita.

“Kami di kedutaan Amerika Syarikat membantu melalui pelbagai program bagiwanita termasuk dalam keusahawanan. Kami menyaksikan banyak kejayaan dan kami percaya usaha kami untuk membantu memperkasa wanita di Malaysia tidak sia-sia. 

Perwakilan lebih baik

Usaha sedang diambil untuk meningkat serta menambah baik statistik semasa wanita dalam jawatan-jawatan pembuat keputusan, khasnya di sektor swasta.

“Wanita mempunyai sejarah perjuangan 100-tahun. Mereka telah berusaha begitu gigih dalam menuntut apa yang sebenarnya hak mereka. Lagipun, suara wanita masih tidak diwakili dengan baik. Buat masa ini hanya lebih kurang 7 peratus wakil rakyat Dewan Undangan Negeri adalah wanita, manakala anggota Parlimen wanita masih kekal pada angka lebih kurang 10 peratus.

“Kerajaan berharap untuk meningkatkan perwakilan wanita sebanyak 30 peratus,” kata Maria Chin Abdullah, Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) baru-baru ini kepada wanita yang bersemangat di dalam dewan itu.

Empower, penerima geran daripada Dana Wanita, baru-baru ini telah membangunkan serta melengkapkan program perintis yang dikenali sebagai ‘MenjanaKuasa Wanita’ untuk menarik penyertaan wanita Malaysia dalam menjalin satu jaringan politik untuk membantu dalam rundingan dan mengubah proses politik demi manfaat kesemua orang tidak kira jantina atau kaum.

Dana ini diagihkan oleh Pejabat Isu-isu Wanita Global di Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Maria berpandangan positif bahawa misi Empower untuk memperjuang satu transformasi yang akan memberi pengiktirafan yang menyeluruh dan menawarkan peluang yang adil serta saksama bagi wanita dan juga lelaki yang menghadapi diskriminasi, akhirnya akan menjadikan kehadiran wanita lebih signifikan.

Seperti yang diperkata, wanita kini meniti secara agresif tangga kemajuan walaupun dengan langkah berhati-hati dan perlahan, tetapi dilakukan dengan yakin. Wanita mesti menimba ilmu, termasuk dalam bidang teknologi. Ini kerana perubahan yang diilhamkan hanya boleh berlaku dengan berkesan dari kalangan kaum hawa sendiri.

— Bernama