Masjid mesti relevan untuk rakyat

Masjid mesti relevan untuk rakyat

Kepimpinan masjid dalam negara perlu mencari pendekatan yang lebih mesra untuk golongan belia, keluarga dan masyarakat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mashitah Ibrahim.

Kepimpinan masjid dalam negara perlu mencari pendekatan yang lebih mesra untuk golongan belia, keluarga dan masyarakat supaya fungsi masjid dapat digembleng semaksimum mungkin sebagai satu institusi yang dapat menyatupadukan umat Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini masjid sering dilihat bagaikan sebuah institusi yang kurang mesra kepada masyarakat.

“Ia berbeza dengan zaman Nabi Muhammad S.A.W terdahulu yang menyaksikan masjid dalam fungsi yang kepelbagaian menjalankan aktiviti masyarakat,” katanya semasa melancarkan Album Masjid: Lambang Ketamadunan Islam di Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata agenda pembangunan belia dan remaja juga harus menjadi keutamaan setiap pimpinan masjid kerana banyak gejala sosial di kalangan remaja berlaku ketika ini.

“Ini perlu diambil sebagai satu langkah proaktif oleh masjid-masjid,” katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Penasihat Penerbitan album masjid berkata,penerbitan album itu akan memberi faedah kepada generasi akan datang untuk melihat nilai estetika sejarah dan seni bina di dalam masjid.

Album yang diterbitkan hasil inisiatif Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu dengan kerjasama beberapa agensi lain mempamerkan keunikan gabungan senifotografi dan fakta mengenai masjid-masjid di seluruh negara.

Ia juga boleh menjadi panduan untuk menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk datang dan menghayati keindahan seni bina masjid-masjid berkenaan sekaligus mempromosi sektor pelancongan di Malaysia.

– Bernama