Semikonduktor RM500,000 dirompak, van sekuriti dilanggar lori kontena

Semikonduktor RM500,000 dirompak, van sekuriti dilanggar lori kontena

Sebuah van sekuriti dilanggar oleh lori kontena sebelum sekumpulan lelaki melarikan peralatan semi konduktor bernilai lebih setengah juta dari van terbabit, di sini hari ini.

Sebuah van sekuriti dilanggar oleh lori kontena sebelum sekumpulan lelaki melarikan peralatan semi konduktor bernilai lebih setengah juta dari van terbabit, di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 11.45 pagi itu berlaku di lorong Senawang 2/3, kawasan perindustrian Senawang, hanya beberapa meter dari kilang semi konduktor yang menjadi destinasi penghantaran van sekuriti itu.

“Pengawal keselamatan yang memandu van itu cedera ringan,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Yusoff Awang.

Beliau berkata perlanggaran berlaku secara berdepan sebelum sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki berhenti di belakang van berkenaan.

“Tiga lelaki bersenjatakan parang yang menaiki kereta itu kemudian menghampiri van berkenaan dan mengarahkan tiga pengawal keselamatan yang berada dalam van itu supaya jangan bertindak atau melawan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata tiga lelaki terbabit bersama pemandu lori kontena itu kemudian memindahkan peralatan semi konduktor dalam kereta mereka sebelum kesemua mereka melarikan diri dengan kereta itu.

Lori kontena terbabit ditinggalkan di kawasan kemalangan itu, katanya.

Mohd Yusoff berkata kumpulan pengawal keselamatan itu dilengkapkan dengan selaras senjata api. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

— Bernama