Banjir: 1,294 mangsa di Perlis

Banjir: 1,294 mangsa di Perlis

Image by hicks

Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan 1,294 mangsa daripada 349 keluarga dipindahkan ke 19 buah pusat pemindahan
sehingga pukul 2 petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata kawasan paling teruk terjejas ialah Kangar dengan 870 mangsa daripada 239 keluarga yang telah dipindahkan.
Sebanyak 380 mangsa daripada 99 keluarga adalah dari kawasan Padang Besar dan 44 mangsa daripada sebelas keluarga dari kawasan Arau.

Jumlah itu meningkat jauh lebih tinggi berbanding sebanyak 416 mangsa daripada 120 keluarga yang dipindahkan pada pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid bersama Ketua Polis Perlis Datuk Tajuddin Md Isa turut meninjau pusat-pusat pemindahan banjir hari ini.
 
Banjir melanda Perlis sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan bermula Isnin lalu sehingga hari ini.

Sementara itu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut mengadakan bilik gerakan dengan menyediakan perkhidmatan membantu mangsa-mangsa banjir menggunakan bot dan lori.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 16 buah sekolah yang terbabit dengan banjir ditutup hari ini dan para pelajar diarah pulang pada pukul 10 pagi.

Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan para pelajar itu berikutan situasi banjir yang sedang melanda Perlis.
 

— Bernama