Banjir: Kedah sediakan bantuan RM200 setiap keluarga

Banjir: Kedah sediakan bantuan RM200 setiap keluarga

Kerajaan Negeri Kedah akan menyediakan bantuan kepada mangsa ribut kira-kira RM200 untuk setiap keluarga bergantung kepada kerosakan yang dialami.

Image by hisks

Kerajaan Negeri Kedah akan menyediakan bantuan kepada mangsa ribut kira-kira RM200 untuk setiap keluarga bergantung
kepada kerosakan yang dialami.

Menteri Besar Azizan Abdul Razak berkata selain sumbangan wang tunai, mangsa ribut juga akan turut menerima bantuan membaik pulih bumbung-bumbung rumah yang rosak.

“Kita berasa dukacita dengan apa yang berlaku dan kita akan cuba atasi perkara ini dengan memberi bantuan kepada mangsa ribut dan mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah keseluruhan perbelanjaan tidak dapat dipastikan lagi kerana pihaknya masih menanti laporan daripada ketua-ketua kampung dan penghulu di setiap kawasan yang terlibat.

Sehingga pagi ini, jumlah rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut sejak petang Isnin lalu ialah 348 rumah melibatkan enam daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Yan, Padang Terap dan Kubang Pasu.

Katanya keadaan banjir di Baling semakin pulih dengan jumlah terkini mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan ialah 81 orang berbanding 1,331 mangsa telah pulang ke rumah.

“Petang ini saya akan pergi ke sana (Baling) untuk melawat dan memberi sumbangan kepada mereka, kita memang ada peruntukan kewangan untuk menghadapi bencana,” katanya.

— Bernama