Sekolah Agama di Selangor terima bantuan

Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor, katanya.

Terdapat 188 buah SAR dan KAFA di seluruh Selangor yang mempunyai 90,620 pelajar yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut, katanya.

Bagi SABK di seluruh negara pula, Muhyiddin berkata sejumlah RM120.77  juta diperuntukkan sebagai belanja pengurusan dan daripada jumlah itu, RM29.27 juta diperuntukkan bagi SABK di Selangor yang berjumlah 23 buah dengan jumlah pelajar 15,586 orang.

Beliau berkata sejumlah RM95 juta telah diperuntukkan sebagai bantuan untuk SAR seluruh negara dalam Bajet 2011 di mana RM9.6 juta diperuntukkan bagi Selangor.

Bantuan itu akan digunakan bagi kursus untuk guru-guru SAR, pembinaan dan pembaikan kecil SAR, katanya.

Beliau berkata ilmu adalah asas bagi seseorang itu untuk mendapatkan bukan sahaja kejayaan di dunia bahkan juga di akhirat.

Muhyiddin berkata kerajaan persekutuan mengutamakan pembangunan pendidikan untuk rakyatnya di mana 26 peratus daripada bajet negara adalah dikhaskan bagi pendidikan.

Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pula, kementeriannya telah mencapai sasaran dengan menggiatkan pendidikan di peringkat awal iaitu pra-sekolah di mana kini hampir 700,000 kanak-kanak mengikuti kelas ini setahun,katanya.

Muhyiddin berkata pihak yang mempertikaikan pencapaian kementeriannya dan kementerian yang lain perlu membuka mata dan turun padang bagi melihat sendiri kejayaan kerajaan dalam  melaksanakan Program Transformasi Kerajaan(GTP).

Sempena lawatannya ke negeri ini, beliau juga berkesempatan singgah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jenjarom di Pekan Jenjarom dekat sini ketika dalam perjalanan ke Sungai Manggis di mana beliau menandatangani plak bangunan baru sekolah itu.

Di situ juga beliau menyampaikan geran bantuan bernilai RM1.2 juta kepada SJKC Jenjarom dan SJKC Yoke Kuan, Sekinchan untuk pembinaan bangunan tambahan.

Sebelum itu, Muhyiddin memulakan lawatannya ke Selangor dengan melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang dekat sini sempena ulang tahun ke-100 sekolah berkenaan serta meluangkan masa bersarapan ala-kampung seperti nasi lemak danubi rebus bersama-sama penduduk setempat.

Pada majlis di sekolah itu, Muhyidin diberi penghormatan untuk memotong kek ulang tahun sekolah itu dan menandatangani plak ulang tahunnya sertamenyampaikan cenderamata kepada murid tua sekolah berkenaan iaitu Yasin Bakar,83, Yasin Yusak, 80, Toemah Tujibon,74 dan Mariam Taib, 90.

Leave a Reply