Kerajaan negeri Perak beri bonus empat bulan

Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (PPPNP) hari ini mengumumkan bonus empat bulan gaji kepada petugasnya yang akan dibayar bulan depan.

Pengumuman itu yang dibuat Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir (bawah) menjadikan PPPNP agensi ketiga kerajaan Perak yang berbuat demikian selepas Lembaga Air Perak  dan Majlis Bandaraya Ipoh.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah PPPNP di sini, Zambry berkata keputusan bonus empat bulan itu berdasarkan pencapaian memberangsangkan agensi tersebut pada tahun lepas.

“Pemberian bonus ini amat wajar kerana kita mahu memastikan kakitangan bersama-sama merasai nikmat atas prestasi memberangsangkan PPPNP,” katanya.

Zambry berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menaikkan ganjaran persaraan petugas bukan eksekutif daripada 25 peratus kepada 100 peratus.

“Dengan kenaikan ini, pesara akan menikmati ganjaran berdasarkan gaji penuh terakhir mereka.

“Sebelum ini, kita hanya bayar berdasarkan 25 peratus daripada gaji terakhir mereka didarab dengan tempoh perkhidmatan,” katanya sambil menambah bahawa manfaat itu sebelum ini hanya diberikan kepada kakitangan eksekutif sahaja.

— BERNAMA