Terminal Bas Bersepadu bernilai RM38 juta dibina di Ipoh

Terminal Bas Bersepadu bernilai RM38 juta dibina di Ipoh

Kompleks Terminal Bas Bersepadu Bandaraya Ipoh di Meru Raya di sini dijangka mula beroperasi pada Jun tahun depan.

Kompleks Terminal Bas Bersepadu Bandaraya Ipoh di Meru Raya di sini dijangka mula beroperasi pada Jun tahun depan.

Pengarah Urusan The Combined Bus Services Sdn Bhd (CBSB) Cheong Kong Fitt berkata terminal tiga tingkat bernilai RM38 juta itu kini sudah 27 peratus siap. Apabila siap kelak, terminal ini mempunyai pusat perniagaan, medan selera, tempat letak kereta dan kiosk stesen minyak, katanya kepada pemberita,di sini hari ini.

Cheong berkata terminal itu juga dijangka mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan, selain menyumbang RM1.2 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar bagi tempoh sembilan tahun sehingga 2021.

Terdahulu syarikat itu yang juga pemilik kompleks tersebut menandatangani memorandum persefahaman dengan Bank Muamalat yang bersetuju membiayai pembinaan dengan jumlah RM25 juta, selain membiayai pembelian bas berjumlah RM2 juta.

Majlis itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam  Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal EhwalBukan Islam negeri, Dr Mah Hang Soon. Sementara itu,  Dr Mah berkata kerajaan Perak memperuntukkan RM4.32 juta kepada sebuah syarikat pengangkutan di Manjung bagi  menaik taraf perkhidmatan bas awam di kawasan tersebut.

“Bermula bulan depan syarikat berkenaan akan  memberi perkhidmatan bas di kawasan Manjung dan kita harap ia dapat  memberi keselesaan kepada rakyat Perak yang menggunakan perkhidmatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memantau perkhidmatan syarikat berkenaan dan akan  diperluaskan ke daerah Kerian, Kuala Kangsar serta Larut Matang dan Selama jika kaedah itu berkesan.

— BERNAMA