CCTV dipasang oleh MBSA di kawasan tegar jenayah di Shah Alam

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang 24 unit kamera litar tertutup (CCTV) serta menubuhkan sebuah bilik kawalan bagi mengurangkan kadar jenayah dan masalah kesesakan lalu lintas di sekitar bandaraya itu.

Datuk Bandar Shah Alam Mazalan Md Noor berkata antara lokasi pemasangan CCTV ialah Seksyen 25, Seksyen 2, Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 14 dan Seksyen U2 di sini.

“Lokasi pemasangan CCTV ditentukan oleh pihak MBSA sendiri bersama Polis Diraja Malaysia berdasarkan kepada kawasan panas jenayah, dan juga beberapa kawasan yang berpotensi untuk berlakunya jenayah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Bilik Gerakan dan Operasi CCTV MBSA di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata selain itu, bilik kawalan CCTV juga ditubuhkan dengan pengawasan 24 jam oleh dua penguatkuasa MBSA dan seorang anggota polis yang bertukar syif setiap lapan jam.

“Dengan adanya CCTV ini akan membantu pihak MBSA membuat pemantauan dari segi kawalan lalu lintas, bencana alam, penjaja haram dan juga masalah pembuangan sampah sarap di merata tempat oleh orang awam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Bohari Ehsan berkata setiap rakaman CCTV akan disimpan selama 45 hari untuk semakan, dan pada peringkat permulaan, pesalah hanya diberi amaran. — Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE