Bendahari UMNO Kota Bahru tawar beli Pasar Lama

Bendahari UMNO Kota Bahru tawar beli Pasar Lama

Sheikh Ahmad Rozi Sheikh Ahmad yang juga Bendahari Umno Kota Baharu, sanggup membeli Pasar Lama dengan harga RM 5 juta bagi menyelesaikan kemelut kira-kira 300 peniaga yang diarah berpindah ke tempat baru.

Seorang usahawan menawarkan sebanyak RM5 juta untuk membeli Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) bagi menyelesaikan kemelut kira-kira 300 peniaga yang diarah berpindah ke tempat baru.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Mohd Fatmi Che Salleh berkata usahawan itu, Sheikh Ahmad Rozi Sheikh Ahmad yang juga Bendahari Umno Kota Baharu, sanggup membelinya daripada sebuah syarikat yang dilaporkan telah membayar RM3.8 juta kepada kerajaan negeri untuk bangunan pasar lama tersebut.

“Sheikh Ahmad Rozi telah menghubungi saya untuk menawarkan membeli bangunan
itu semata-mata mahu menyelesaikan masalah peniaga yang telah diarah berpindah
segera pada 30 Mac ini oleh syarikat terbabit.

“Saya harap syarikat terbabit setuju untuk menjual kepada beliau kerana ini bukan sahaja menyelesaikan masalah peniaga, tetapi syarikat itu juga akan mendapat keuntungan sebanyak RM1.2 juta,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB Ab Salim Ahmad, seorang peguam Norazli Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Kota Baharu Rosmadi Ismail.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

Mohd Fatmi, yang juga Ketua Umno Kota Baharu, berkata jika syarikat itu menjual bangunan tersebut kepada Sheikh Ahmad Rozi, peniaga akan dibenarkan berniaga seperti biasa sementara menunggu ditempatkan di bangunan lain.

“Dengan ini, mereka tidak lagi perlu berpindah di Bazar Tok Guru, yang mencetuskan kontroversi, dan jika dijual kepada usahawan ini, peniaga akan terus berniaga sementara menunggu bangunan baru yang lain, dan lebih selesa daripada Bazar Tok Guru ini,” katanya.
Beliau berkata semua peniaga itu menerima notis untuk mengosongkan premis daripada Blue Lang Management beberapa hari lepas.

“Ini satu penipuan oleh kerajaan negeri kerana Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjanji peniaga itu dibenarkan berniaga sehingga 30 Mei depan, tetapi tiba-tiba syarikat terbabit telah mengeluarkan notis agar (peniaga) berpindah lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Ab Salim berkata semua peniaga bertekad untuk tidak keluar daripada premis yang mereka duduki hampir 30 tahun.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

“Ini tempat kami mencari rezeki. Kenapa kami dihalau sebegini rupa dan di mana janji Menteri Besar untuk kami terus berniaga kira-kira untuk dua bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPNK) meminta kerajaan negeri mengambil alih semula pasar lama MPKB daripada syarikat Sensa Timur Sdn Bhd bagi menyelesaikan isu berkaitan bantahan peniaga yang enggan berpindah ke Bazar Tok
Guru.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini juga meminta kerajaan negeri membaik pulih pasar lama itu bagi menjamin keselesaan peniaga dan pengunjung.

“Kita juga menyokong penuh cadangan kerajaan negeri untuk membuat melakukan pengambilalihan semula tanah yang merupakan tapak Arked Uda daripada UDA
Holdings Sdn Bhd, dan membina satu arked baru untuk peniaga yang sedia ada,” katanya.

— BERNAMA